PEMAIN berpengalaman, Amri Yahyah, mahu skuad Melaka United tampil lebih tenang untuk menghadapi cabaran Liga Super 2017 kerana ada yang masih kurang berpengalaman beraksi di pentas tertinggi itu.

"Saya lihat semua pemain memberi komitmen tinggi, tidak kira siapa yang diturunkan, dan saya harap ia dapat diteruskan untuk perlawanan pertama Liga Super nanti," katanya ketika ditemui di Phnom Penh, Kemboja.

Berdasarkan posisi yang diberikan dalam perlawanan persahabatan, Amri diberi peranan berbeza berbanding sebelum ini, iaitu sebagai pemain tengah menyerang.

"Tahun ini peranan saya agak berlainan, posisi sebagai pemain tengah menyerang memberikan saya lebih banyak kebebasan untuk bermain.

"Saya akan mendapat lebih banyak bola dan membantu penyerang."

Amri secara realistiknya percaya Melaka masih lagi mencari tapak dalam saingan Liga Super, oleh itu dia menasihati rakan sepasukannya agak tidak gelojoh dalam kehangatan untuk mengharungi musim ini.

"Jangan terlalu gopoh dalam Liga Super kerana ada perbezaan ketara di antara Liga Perdana.

"Saya harap pemain dapat meingkatkan prestasi dalam latihan dan perlawanan nanti, Insya-Allah."