Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Rengit Rangers Sepak Takraw Club akan bekerjasama dalam mengaplikasikan program perkongsian maklumat menerusi Pembangunan Sepak Takraw Rengit -UTHM bagi merancakkan program pembangunan peringkat akar umbi.

Sebanyak 10 pasukan yang melibatkan 50 pemain dan 10 pegawai sekitar Rengit telah berjaya dikumpulkan sempena penganjuran Rengit Rangers Sepak Takraw Battle 2018 ini.

Menurut Presiden Kelab dan juga Penolong Pegawai Belia dan Sukan Pusat Sukan UTHM, Mohd Hazrin Abd Rahman, Rengit Rangers Sepak Takraw Club adalah kesinambungan dan penjenamaan semula Kelab Sepak Takraw Putra Rengit yang kini mempunyai keahlian seramai 52 orang ahli.

"Ia merupakan kali pertama transformasi dibuat ke atas logo rasmi dan penganjuran aktiviti kelab. Transformasi ini dilakukan seiring dengan tuntutan semasa dan mengambil kira kepada penambahbaikan kelab.

"Menerusi penjenamaan ini kelab dengan kerjasama UTHM akan berganding bahu memperkasakan program pembangunan sepak takraw lelaki dan wanita merangkumi pelbagai peringkat umur iaitu remaja, belia dan veteran sejajar dengan hasrat universiti bagi menjalinkan kerjasama erat dengan masyarakat selain menyediakan platform perkongsian pintar melalui kepakaran, fasiliti, kepakaran serta khidmat sukarelawan," katanya.

Rengit Rangers Sepak Takraw Club ditubuhkan baru-baru ini melancarkan logo rasminya bagi memberikan imej yang lebih segar kepada kelab tersebut.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Ayub Jamil selaku Presiden Persekutuan Sepak Takraw Daerah Batu Pahat di Dewan Seri Warisan, Kampung Belahan Tampok, Rengit pada 27 Januari lalu.

Dalam majlis tersebut Ayub turut merasmikan Rengit Rangers Sepak Takraw Battle 2018 dan bersetuju membiayai sepenuhnya aktiviti kelab ini antaranya penganjuran kejohanan sepak takraw sebanyak dua kali sebulan dengan peruntukan sebanyak RM5,000.00.

_________________________________________________________________

*Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers, Mohd Zulfadli Rozali dan Anbia Adam dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) suntingan Suriayati Baharom

**Awani Rangers ialah inisiatif Astro Awani bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkogsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.

***Awani Rangers UTHM ialah inisiatif kerjasama strategik Astro Awani dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia(UTHM).