Messenger kini dalam kajian untuk memperkenal satu ciri baharu iaitu perkhidmatan pengangkutan menerusi aplikasi tersebut.

Dengan ciri baru ini, pengguna boleh menempah teksi tanpa perlu memuat turun aplikasi tambahan atau meninggalkan kotak perbualan mereka.

Segala urusan termasuk penempahan serta pembayaran boleh dilakukan menerusi aplikasi Messenger bagi memudahkan pengguna.

Menurut satu kenyataan Facebook, Uber merupakan servis pengangkutan yang pertama yang akan berkolabarasi dengan Facebook bagi tujuan ini.

Rangkaian sosial ini mengumumkan bahawa ia akan membolehkan pengguna menempah pemandu Uber menerusi Messenger, tanpa perlu meninggalkan perbualan mereka.

Servis terbaru boleh didapati menerusi Messenger versi terbaru.

Pengguna hanya perlu tekan pada butang ‘menu’ dan kemudian pilih butang ‘transportation atapun memilih ikon 'kereta' yang akan terpapar pada skrin telefon.

“Kami dalam usaha untuk menjadikan pengangkutan semudah menghantar mesej," kata Pengurus Produk Facebook, Seth Rosenberg dalam kenyataan blog tersebut.

Menurut Seth Rosenberg, ciri ini masih dalam kajian dan pada masa ini, ia hanya akan dilancarkan kepada pengguna di Amerika Syarikat.

Servis ini juga akan disediakan di beberapa negara lain, tidak lama lagi, dan lebih banyak rakan kongsi perkhidmatan pengangkutan akan turut berkolabarasi dengan Facebook.