Masjid Negara terus mendapat sokongan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memandangkan ia merupakan antara tarikan pelancongan yang berjaya di ibu negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib berkata demikian sempena majlis penyampaian jubah pelancong di Masjid Negara pada Isnin.

"Bagi Kuala Lumpur, masjid yang paling berjaya menarik pelancong ialah Masjid Negara.

"Dengan pengiktirafannya sebagai Tapak Warisan Negara dan penarafan empat bintang daripada Trip Advisor, ia berjaya menarik 500,000 pengunjung pada tahun 2014," kata beliau.

Menurutnya, untuk terus menarik pepancong menziarahi masjid, pihak pengurusan masjid perlu menyediakan maklumat berkenaan sejarah penubuhan masjid, persekitaran bersih, kemudahan tandas selesa, penyediaan tempat parkir, selain penyediaan ruang pameran serta galeri.

"Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada warga kerja Masjid negara yang telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk para pelancong asing.

"Selain itu, penghargaan juga perlu diberi kepada kira-kira 40 sukarelawan yang mengikuti program Pemandu Pelancong Masjid dengan kerjasama Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)," ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Ahmad Phesal turut meletakkan komitmen pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur melalui Unit Pelancongan DBKL untuk bersama-sama mempromosikan Pelancongan Keagamaan bagi Masjid Negara serta masjid-masjid di sekitar Kuala Lumpur terutamanya Masjid Jamek, Masjid Kampung Bharu dan Masjid Wilayah Persekutuan sehingga peringkat antarabangsa.

Sejumlah 200 jubah untuk kegunaan pelancong itu diterima oleh Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Shaikh Ismail Muhammad.

"Semua jubah yang diterima daripada pihak DBKL ini adalah untuk keperluan kegunaan pelancong secara percuma.

"Saya berharap Masjid Negara akan terus memainkan peranannya sebagai simbol keagungan Islam di Malaysia dan memainkan peranan sebagai daya tarikan utama industri pelancongan keagamaan di Kuala Lumpur," ujarnya.