Song Qinglin, 102, dan isterinya Song Lishi, 99, tenang menghadap kamera. Mereka berpegangan tangan dan tersenyum.

Qinglin segak dengan changshan merah manakala Lishi anggun dengan gaun pengantin putih bermanik.

Selepas berumahtangga selama 80 tahun, pasangan dari daerah Anhui ini buat pertama kalinya merakam foto perkahwinan.

Menurut People’s Daily Online, ketika pasangan ini melangsungkan perkahwinan pada tahun 1936, mereka terlalu miskin sehingga tidak mampu menjalankan sebarang majlis.

Cuma tiga pinggan makanan disediakan sebagai jamuan ketika itu.

Foto perkahwinan mereka dirakam Sabtu lalu sempena ulang tahun perkahwinan ke-80.

Sepanjang perkongsian hidup, mereka dianugerahkan enam orang anak, lima orang cucu, dan empat orang cicit.

Gambar perkahwinan mereka tersebar luas di media sosial China seperti Weibo dan QQ.