Kerajaan Kedah sedang menyiapkan pelan tindakan (blueprint) dalam usaha menarik lebih ramai pelancong asing dan tempatan melawat tempat-tempat bersejarah dan menarik di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni Budaya dan Pembangunan Usahawan, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, untuk itu semua jabatan serta agensi terlibat akan duduk berbincang mencari strategi terbaik memajukan industri tersebut yang dianggap perlahan sebelum ini.

"Kita juga akan panggil pihak swasta, ahli akademik, Jabatan Warisan Negara, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia untuk melihat promosi-promosi atau aktiviti-aktiviti yang sesuai dan berkesan.

"Dengan apa yang kita lakukan ini diharap ada pelabur akan datang melabur dalam industri pelancongan dengan lebih rancak, bukan sahaja di Langkawi tetapi di tanah besar seperti di tapak arkeologi Lembah Bujang dan Sungai Batu di Kuala Muda, sejarah Masjid Zahir di Alor Setar dan peninggalan kota-kota bersejarah yang akhirnya menyumbang kepada sumber pendapatan negeri," katanya di sini pada Selasa.

Terdahulu Mohd Asmirul mengiringi Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang mengadakan lawatan di Muzium Kota Kuala Kedah di sini, semalam.

Baginda meluangkan masa dua jam melawat muzium berkenaan.

Antara yang menjadi perhatian Baginda ialah Pintu Gerbang Kacapuri, Pintu Gerbang British, Meriam Katak Puru, Meriam Badan Berendam, Tembok Kota dan Tembok Batu Konkrit.

Kota Kuala Kedah dibina pada 1771 semasa zaman pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa dan siap dibina pada 1780 semasa pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin ibni Sultan Abdullah Mukarram Shah II.

Ia dibina sebagai benteng pertahanan Melayu tertua di utara Malaysia dan benteng kepada serangan musuh terutama dari serangan Siam dari arah laut.

Selain itu, Kota Kuala Kedah juga pernah digunakan oleh Jepun sebagai markas pertahanan dalam Perang Dunia Kedua.

Reka bentuk kota ini dilukis oleh Hafiz Sab, yang ketika itu memegang jawatan Datuk Maharaja Kadi, manakala tukang-tukang mahirnya dibawa masuk dari India dan pada mulanya kota ini dibinamenggunakan tanah liat, kayu bakau dan buluh.

-- BERNAMA