ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah mempelawa pihak berminat membantu atau menaja pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang kini sedang berhadapan dengan masalah kewangan.

Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan Kedah Muhammad Radhi Mat Din berkata kerajaan negeri mempunyai beberapa kekangan untuk membantu pasukan bola sepak itu yang telah diswastakan pada tahun lepas.

"Isu mengenai KDA FC ini memang telah lama dibangkitkan, kita dimaklumkan ada pemain yang terpaksa membuat kerja sampingan kerana tidak mendapat gaji berikutan masalah kewangan yang sedang dihadapi kelab itu.

"Dulu, isu ini adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri tetapi saya yakin isu ini dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat dan dilakukan dengan baik. Sekiranya ada pihak yang ada hati untuk melihat pasukan Kedah bangun semula, bangunkanlah," katanya pada sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah Sultan Kedah di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Semalam, Loh Wei Chai (PH-Bakar Arang) semasa membahas usul itu membangkitkan persoalan tentang usaha kerajaan negeri dalam membantu pasukan bola sepak Kedah yang sedang berhadapan dengan masalah dana sehingga menyebabkan gaji pemain tertunggak.

Muhammad Radhi berkata walaupun KDA FC sedang menghadapi isu kewangan, perkembangan pasukan itu terus menunjukkan petanda positif apabila telah memulakan sesi latihan sejak semalam.

Pasukan KDA FC memulakan sesi latihan pramusim semalam dengan penampilan empat pemain baharu iaitu Syafiq Ahmad, Rizal Ghazali, Irfan Zakaria dan Zamri Pin serta penyelaras pasukan yang baharu iaitu Ahmad Fauzi Saari.

Sebelum ini, KDA FC dalam satu kenyataan memaklumkan persiapan pasukan itu bagi musim Liga Malaysia (Liga-M) 2024-2025 sudah mencapai tahap 85 peratus, bagaimanapun langkah seterusnya bergantung kepada penyelesaian tunggakan kewangan 2023.

KDA FC turut memaklumkan segala pengumuman berkaitan pasukan serta penajaan hanya akan dilakukan selepas isu tunggakan kewangan tahun lepas diselesaikan dan pengurusan KDA FC yang diketuai Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar telah mendapat kelulusan pembiayaian dana daripada institusi tertentu bagi menyelesaikan tunggakan, namun dana tersebut hanya akan ditunaikan seawal April.

-- BERNAMA