Syarikat Ayam Bismi Sdn Bhd membuat kejutan kepada pelanggannya apabila menawarkan harga 30 sen bagi seekor ayam di pusat jualannya di Simpang Empat Kangkong, di sini, pada Sabtu.

Harga yang tidak munasabah itu menyebabkan orang ramai sanggup beratur seawal jam 6.30 pagi.

Pengarah Eksekutif, Mazlina Kamarudin berkata, sebanyak 150 ekor ayam ditawarkan pada harga runtuh sebagai menghargai sokongan pelanggan setia sempena ulang tahun ke 30 penubuhan syarikat berkenaan.

Katanya, beliau sangat terharu dengan sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai.

“Walaupun kaunter pendaftaran dibuka pada jam 7.30 pagi, tapi sejam sebelum itu pun dah ramai pelanggan berkumpul untuk merebut peluang keemasan ini.

“Alhamdulillah, dalam tempoh kurang sejam kupon sudah habis diedarkan,” katanya, ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun syarikat mereka, di sini, semalam.

Menurutnya, bagi pelanggan yang tidak berpeluang mendapat kupon, mereka masih boleh mendapatkan ayam pada harga istimewa RM5.99 seekor berbanding harga biasa RM6.49 seekor.

“Seperti kebiasaan, hari ini juga kami menyediakan 15,000 ekor ayam bagi memenuhi permintaan pelanggan. Selain ayam segar, kami tawarkan 30 motosikal dan 300 periuk nasi elektrik kepada pelanggan menerusi acara cabutan bertuah.

“Kami gunakan pendekatan ini untuk berkongsi rezeki dan memberi pulangan balik kepada pelanggan yang tidak putus-putus menyokong syarikat kami sepanjang 30 tahun beroperasi,” katanya.