Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa kerajaan agar memberikan peruntukan lebih besar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Bajet 2014 yang bakal dibentangkan di Parlimen Oktober ini.

Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, peruntukan yang berjumlah kira-kira RM90 juta untuk bajet tahun lalu ternyata tidak mencukupi.

"PDRM memerlukan peruntukan kewangan lebih besar daripada kerajaan kerana faktor keselamatan sentiasa menjadi isu yang dekat di hati rakyat serta dimanipulasi oleh pembangkang," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, isu keselamatan adalah menjadi perkara utama yang perlu ditangani kerajaan dengan segera kerana ia bukan sahaja membabitkan kesejahteraan rakyat tetapi juga pelaburan asing.

Nur Jazlan juga memuji usaha yang dilakukan PDRM dengan mengadakan Ops Cantas Khas khusus bagi membanteras kegiatan kongsi gelap yang dilihat berleluasa dalam tempoh dua tiga tahun kebelakangan ini.

"Pada masa sama, saya juga mahu KDN supaya meningkatkan operasi di semua pintu masuk negara bagi mencegah penyeludupan senjata api, yang dilihat begitu mudah didapati dengan pertambahan kes membabitkan pembunuh upahan.

"Atas sebab itu, adalah penting PDRM dilengkapkan dengan infrastruktur keselamatan 'state of the art' yang diguna pakai pasukan keselamatan di negara maju," katanya.

Nur Jazlan juga akan mengadakan lawatan ke Bukit Aman tidak lama lagi bagi melihat keperluan sebenar PDRM terutama sekali berkaitan Unit Perintah Kawalan Komunikasi dan Integrasi Komputer (C4I)

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa PDRM ada memohon peruntukan RM1.5 bilion dalam Rancangan Malaysia ke 10 (RMK10) untuk melaksanakan sistem C4I ke seluruh negara.

"Saya mahu tahu di tahap manakah pelaksanaan sistem C4I ini, adakah peruntukan ini, sudah diberikan dan bagaimana proses pelaksanaannya. Jika perlu dibantu untuk dipercepatkan , kita akan cuba bantu," katanya.