Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang berusaha memastikan sistem komunikasi termasuk perkhidmatan telefon bimbit yang terbatas akibat banjir buruk melanda negeri ini, dapat dipulihkan dalam tempoh terdekat.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata setakat ini tidak kesemua perkhidmatan telefon bimbit yang terjejas kerana terdapat perkhidmatan oleh syarikat pembekal tertentu masih beroperasi.

"Maknanya ada pembekal perkhidmatan tertentu yang masih beroperasi tetapi ada yang tidak beroperasi, bergantung kepada syarikat tertentu," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat dan meninjau keberkesanan KKMM menguruskan perkara berkaitan komunikasi di negeri ini berikutan banjir buruk, di sini malam ini.

Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad menyampaikan taklimat itu.

Ahmad Shabery turut melahirkan perasaan kesal apabila pusat pemancar Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini, tidak dapat berfungsi kerana ketiadaan elektrik dan transmiternya juga tidak dapat berfungsi.

"Ia memberi kesan kepada bagaimana untuk menghantar dan menyiarkan berita di Kelantan, FM Kelantan tidak dapat bersiaran dalam beberapa hari sewaktu banjir ini," katanya.

Menteri itu berkata beliau akan memastikan stesen tersebut dapat beroperasi semula dalam masa terdekat.
Ahmad Shabery juga mengucapkan terima kasih kepada persatuan radio amatur yang turut membantu melancarkan aspek komunikasi.

"Persatuan radio amatur yang membantu dari segi perhubungan antara satu sama lain untuk mendapatkan berita, maklumat tempat-tempat yang terkandas perlu dihantar bantuan dan sebagainya," kata beliau.