Pengendali perusahaan dalam talian 11street, berhasrat untuk terus melatih serta memperkasa pengusaha kecil dan sederhana (PKS) tempatan tahun ini.

Justeru, 11street akan meningkatkan pelaburan dalam latihan serta pembangunan usahawan dan menarik lebih banyak trafik ke laman webnya bagi mendukung usaha itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hoseok Kim, syarikat itu telah menggariskan pelan menawarkan latihan e-perdagangan yang lebih maju kepada pengusaha luar bandar menerusi program yang komprehensif.

Kim berkata sebagai permulaan, latihan tersebut akan mula dijalankan kepada pengusaha di Pulau Pinang, Perak dan Johor.

"Terdapat permintaan besar di ketiga-tiga negeri ini terhadap perkhidmatan dalam talian kami, begitu juga kunjungan trafik daripada pengguna di lokasi ini.

"Oleh itu, kami akan turut beri tumpuan kepada Pulau Pinang, Johor dan Perak selain kawasan Lembah Klang," ujar Kim.

"Kita telah memperuntukkan RM60.4 juta bagi latihan e-perdagangan, daripada latihan asas menjual produk dalam talian sehinggalah latihan penyelidikan pemasaran," tambah Kim.

Beliau berkata demikian pada majlis penghargaan kepada 14 pengusaha serta penjual yang telah berjaya mencatatkan prestasi jualan serta pertumbuhan melebihi 100 peratus sejak usaha sama mereka bersama 11street di Kuala Lumpur pada Isnin.

11street merupakan pengendali serta laman membeli-belah dalam talian terbesar dan terkemuka di Korea Selatan telah mula membuka perkhidmatannya di Malaysia pada April 2015.

Sejak pelancarannya di negara ini, 11street telah berjaya membawa dan memperkenalkan 13,000 pengusaha tempatan dan antarabangsa yang menawarkan lebih lima juta produk perniagaan kepada pengguna dalam talian di Malaysia.

Secara purata, syarikat itu telah membantu memasarkan perniagaan penjual dengan pertumbuhan sebanyak 30 peratus dalam tempoh enam bulan.