Skip to main content

Bisnes

268,000 pembayar cukai kemuka 1.9 bilion e-Invois setakat 1 Oktober

Abu Tariq (dua, kanan) pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Bulan HASiL 2026 hari ini. - Foto Bernama
Abu Tariq (dua, kanan) pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Bulan HASiL 2026 hari ini. - Foto Bernama

Advertisement

PUTRAJAYA: Jumlah pembayar cukai yang melaksanakan e-Invois meningkat kepada 268,005 setakat 1 Oktober 2026, berbanding 265,379 pada 30 Ogos lalu, iaitu pertambahan sebanyak 2,626 dalam tempoh kira-kira sebulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, jumlah e-Invois yang disahkan turut meningkat kepada 1.9 bilion, berbanding lebih 1.8 bilion sebelum ini, mencatatkan pertambahan sekurang-kurangnya 148 juta invois.

"Dari segi data terkini untuk e-Invois, kita sudah melibatkan seramai 268,000 pembayar cukai yang melaksanakan e-Invois. Dan kita juga menerima hampir 1.9 bilion e-Invois untuk disahkan.

"Jadi itu adalah statistik semasa. Perkara ini berlaku tentunya secara harian, ketika ini data tersebut menunjukkan seramai 268,000 pembayar cukai sudah menyertai program e-Invois ini," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Bulan HASiL 2026, di sini, pada Khamis.

Tambah Abu Tariq, angka berkenaan merujuk kepada syarikat dan perniagaan yang perlu mengeluarkan invois mengikut fasa pelaksanaan e-Invois ditetapkan.

Berdasarkan data dikongsikan, sebanyak 5,582 pembayar cukai mengemukakan e-Invois pada fasa satu, 14,579 (fasa dua), 51,815 (fasa tiga) dan 196,031 (fasa empat).

Pada 31 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi ikhtiar Kerajaan MADANI mengumumkan kenaikan ambang pengecualian e-Invois yang berkuat kuasa mulai 1 September 2026, sekali gus memberi pengecualian kepada lebih 1.1 juta peniaga.

"Yang ini juga telah memberi manfaat kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya mereka yang mempunyai perolehan di bawah RM3 juta, kini mereka tidak perlu melaksanakan e-Invois," ujar Abu Tariq.

Walaupun dikecualikan daripada kewajipan pelaksanaan e-Invois, PMKS masih digalakkan menyertainya secara sukarela bagi menyokong usaha pendigitalan operasi perniagaan.

Must Watch Video

Advertisement