Skip to main content

Bisnes

5,400 peluang pekerjaan ditawar di Karnival Lindung Kerjaya Sabah

Kaunseling  Kerjaya -- PERKESO
Khairul Firdaus ketika hadir merasmikan Karnival Lindung Kerjaya Peringkat Negeri Sabah 2026 di Sabah International Convention Centre.

KOTA KINABALU: Sebanyak 5,400 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Karnival Lindung Kerjaya Peringkat Negeri Sabah 2026 yang disertai 54 majikan daripada pelbagai sektor.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, daripada jumlah itu, 80 peratus peluang pekerjaan yang ditawarkan adalah di dalam negeri Sabah.

“Saya telah dimaklumkan hampir 54 majikan menyertai karnival kita pada hari ini dan peluang pekerjaan yang disediakan ialah hampir 5,400.

“Sebanyak 80 peratus peluang pekerjaan itu wujud di negeri Sabah. Apa yang paling penting kita mahu pastikan peluang pekerjaan meningkat di Sabah dan pada masa sama kadar pengangguran dapat diturunkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Lindung Kerjaya Peringkat Negeri Sabah 2026 di Sabah International Convention Centre pada Ahad.

Image
Kaunseling  Kerjaya -- PERKESO
Karnival Lindung Kerjaya Peringkat Negeri Sabah 2026 diadakan di Sabah International Convention Centre pada Sabtu dan Ahad lalu.

Khairul Firdaus berkata, usaha itu selaras dengan aspirasi pelan pembangunan Sabah Maju Jaya yang memberi tumpuan kepada penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

Dalam masa sama, Kementerian Sumber Manusia akan melancarkan Sabah Talent Development Center (STDC) sebagai pusat sehenti bagi memadankan latihan dan keperluan industri.

“Seperti yang saya katakan tadi sewaktu berucap, dalam masa terdekat kita akan melancarkan Sabah Talent Development Center (STDC) dan pusat sehenti ini akan memainkan peranan yang cukup signifikan.

“Ruang ini bukan sahaja memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak di Sabah, malah memberikan latihan, yang memenuhi kehendak industri. Itulah matlamat utama yang dimainkan oleh STDC,” katanya lagi.

Menurut Khairul, STDC yang akan beroperasi di Kota Kinabalu itu merupakan inisiatif PERKESO melalui KESUMA bagi menyediakan latihan, bimbingan kerjaya dan peluang pekerjaan secara lebih menyeluruh.

 

Must Watch Video