Skip to main content

Dunia

Mogok kru kabin easyJet sebabkan 443 penerbangan dibatalkan di Portugal

Pembatalan itu mewakili kira-kira 80 peratus daripada operasi yang dijadualkan di pangkalan berkenaan sepanjang tempoh mogok. - Gambar fail
Pembatalan itu mewakili kira-kira 80 peratus daripada operasi yang dijadualkan di pangkalan berkenaan sepanjang tempoh mogok. - Gambar fail

Advertisement

LISBON: Mogok selama lima hari oleh kru kabin easyJet di Portugal bermula pada Jumaat, dengan 443 penerbangan dibatalkan di pangkalan syarikat penerbangan itu di Lisbon, Porto dan Faro, lapor Xinhua.

Pembatalan itu mewakili kira-kira 80 peratus daripada operasi yang dijadualkan di pangkalan berkenaan sepanjang tempoh mogok, menurut Kesatuan Kebangsaan Kakitangan Penerbangan Awam (SNPVAC).

Pegawai kesatuan Ana Dias berkata, penerbangan tambahan yang masih dalam jadual mungkin turut terjejas, walaupun sebahagiannya mungkin dikendalikan oleh pesawat dan kru yang dibawa masuk dari pangkalan lain di Eropah.

Syarikat penerbangan menjangka hanya mampu mengendalikan kira-kira 55 peratus daripada penerbangan yang dijadualkan sepanjang tempoh mogok.

Ia termasuk perkhidmatan minimum, yang merangkumi kira-kira 22 peratus daripada operasi berasaskan Portugal, serta penerbangan yang dikendalikan oleh kru dari pangkalan lain di Eropah.

Syarikat penerbangan itu berkata aturan berkenaan adalah “mematuhi sepenuhnya undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa”.

Bagaimanapun, SNPVAC menyifatkan amalan itu sebagai tidak sah dan berkata pihaknya mungkin memohon keputusan mahkamah berhubung perkara itu.

Kesatuan mendakwa kru Perancis tiba di Porto pada Khamis untuk mengendalikan penerbangan bagi menggantikan pekerja yang menyertai mogok.

Mogok yang berlangsung sehingga Selasa itu diadakan berhubung beberapa pertikaian, termasuk kestabilan jadual kerja, kenaikan gaji berdasarkan kekananan serta syarat yang sedang dirundingkan bagi perjanjian perusahaan baharu.

Mogok kedua oleh kru kabin easyJet dijadualkan berlangsung pada 19 hingga 23 Dis.

 -- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement