KUALA LUMPUR: Tinjauan pasaran oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menunjukkan bahawa 81 peratus responden melaporkan kos menjalankan perniagaan yang lebih tinggi pada separuh pertama 2026, meningkat daripada 74 peratus pada separuh kedua tahun 2025.
Kaji selidik melibatkan 181 responden itu menunjukkan bahawa dalam kalangan mereka yang melaporkan kos lebih tinggi, 35 peratus mencatatkan peningkatan antara tiga hingga enam peratus.
Presiden REHDA Datuk Zaini Yusoff berkata kos pembinaan telah naik secara purata kira-kira 13 peratus, walaupun impaknya berbeza-beza bergantung pada jenis kerja pembinaan.
"Bagi kerja-kerja tanah dan infrastruktur, ia mengalami peningkatan kira-kira 20 peratus hingga 30 peratus, bagaimanapun bagi kerja-kerja pembinaan bangunan biasa, kadarnya serendah kira-kira tiga hingga lima peratus," katanya pada taklimat media mengenai Tinjauan Industri Hartanah REHDA bagi separuh pertama tahun 2026, di sini hari ini.
Zaini berkata peningkatan itu sebahagiannya didorong oleh harga produk berkaitan diesel lebih tinggi, termasuk bitumen, susulan konflik di Asia Barat yang memberi kesan khususnya kepada projek jalan raya, kerja-kerja berkaitan tanah dan infrastruktur.
Tinjauan itu juga menunjukkan bahawa 63 peratus responden menghadapi cabaran pembinaan pada separuh pertama 2026, dengan harga bahan yang tinggi, kekurangan bekalan dan bekalan tidak konsisten disebut sebagai tiga cabaran utama berkaitan bahan binaan.
Mengenai tenaga kerja, tiga cabaran utama ialah upah yang tinggi, kekurangan bekalan tenaga kerja dan kekurangan pekerja mahir.
Zaini berkata projek yang sedang berjalan secara umumnya sepatutnya boleh disiapkan mengikut peruntukan sedia ada, manakala kontrak bagi projek baharu mungkin diletakkan pada harga lebih tinggi sedikit bagi mengambil kira peningkatan kos.
Beliau berkata kontrak biasanya mempunyai peruntukan luar jangka kira-kira tiga hingga lima peratus untuk menampung peningkatan kos.
Walaupun berlaku konflik di Asia Barat, Zaini tidak menjangkakan lonjakan ketara seterusnya dalam harga bahan binaan memandangkan harga telah mula stabil selepas peningkatan awal.
"Harga meningkat dengan ketara akibat krisis di Asia Barat. Kini, kita dapat melihat bahawa harga telah pun stabil.
"Walaupun peperangan masih berterusan, saya tidak menjangkakan lonjakan besar pada harga bahan binaan kerana pasaran telah pun menyerap kesan kenaikan harga peringkat awal itu," katanya.
Mengenai prospek pasaran perumahan, Zaini menyatakan bahawa pembeli berkemungkinan kekal berhati-hati pada separuh pertama 2027, bergantung kepada perkembangan konflik di Asia Barat, walaupun pemaju akan terus menyediakan kediaman bagi pelbagai segmen pasaran.
"Walaupun terdapat konflik di Asia Barat, orang ramai masih memerlukan rumah. Oleh itu, kita perlu menyediakan pelbagai jenis kediaman merangkumi segmen mampu milik, kelas pertengahan dan segmen mewah, memandangkan setiap segmen mempunyai kelompok pembelinya tersendiri," katanya.
-- BERNAMA