Skip to main content

Malaysia

Prinsip syariah dalam penilaian sains, teknologi penting jamin integriti pensijilan halal - JAKIM

Muzakarah kali ini mengangkat tema 'Sinergi Syariah dan Inovasi: Memperkasa Integriti Halal Mendepani Evolusi Industri', bertepatan dengan perkembangan teknologi, kaedah pengeluaran dan amalan industri yang semakin dinamik. - Foto JAKIM
Muzakarah kali ini mengangkat tema 'Sinergi Syariah dan Inovasi: Memperkasa Integriti Halal Mendepani Evolusi Industri', bertepatan dengan perkembangan teknologi, kaedah pengeluaran dan amalan industri yang semakin dinamik. - Foto JAKIM
Advertisement

PUTRAJAYA: Pengisian Muzakarah Panel Pengesahan Halal Malaysia 2026 yang diadakan hari ini memberi penekanan kepada penerapan prinsip syariah dalam menilai perkembangan sains dan teknologi bagi memastikan integriti serta kredibiliti Pensijilan Halal Malaysia terus terpelihara.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata perbincangan turut merangkumi hala tuju Pensijilan Halal Malaysia, aspek syariah dan teknikal dalam penilaian halal, isu semasa berkaitan halal serta pengukuhan tadbir urus dan pembangunan skim pensijilan baharu.

Beliau berkata muzakarah itu penting sebagai medium untuk memperkukuh kompetensi dan memperluas pengetahuan ahli Panel Pengesahan Halal Malaysia dari seluruh negara menerusi perkongsian kepakaran, pengalaman serta perkembangan semasa dalam bidang pensijilan halal.

Advertisement

“Usaha ini penting bagi memperkaya perspektif ahli panel dalam melaksanakan tanggungjawab berkaitan pertimbangan Pensijilan Halal Malaysia,” katanya dalam kenyataan bersempena dengan penganjuran muzakarah itu di sini hari ini.

Muzakarah kali ini mengangkat tema “Sinergi Syariah dan Inovasi: Memperkasa Integriti Halal Mendepani Evolusi Industri”, bertepatan dengan perkembangan teknologi, kaedah pengeluaran dan amalan industri yang semakin dinamik serta memberi implikasi terhadap penilaian halal.

Advertisement

Sirajuddin berkata pemilihan tema itu turut menekankan keperluan penerapan prinsip syariah dalam menilai perkembangan sains dan teknologi bagi memastikan integriti serta kredibiliti Pensijilan Halal Malaysia terus terpelihara.

Beliau berkata pengisian muzakarah turut meliputi perbincangan berkaitan hala tuju Pensijilan Halal Malaysia, aspek syariah dan teknikal dalam penilaian halal, isu semasa berkaitan halal serta pengukuhan tadbir urus dan pembangunan skim pensijilan baharu.

Menurutnya, muzakarah berkenaan diharap terus menjadi wadah perkongsian ilmu dan pemantapan kompetensi ahli Panel Pengesahan Halal Malaysia, khususnya dalam memperkaya pengetahuan serta perspektif berkaitan prinsip syariah, keperluan teknikal dan perkembangan semasa industri halal.

“Usaha berterusan ini penting dalam memelihara integriti sistem pensijilan halal negara, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat melalui perlindungan kepentingan pengguna dan peningkatan keyakinan terhadap pengesahan status halal produk serta perkhidmatan yang mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM),” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement