Skip to main content

Malaysia

Pelan hala tuju CCUS akan dilancar hujung bulan ini - Akmal Nasrullah

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini.  - Foto Bernama
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Kerajaan dijangka melancarkan Pelan Hala Tuju Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) pada hujung bulan ini.
  • Petronas sedang membangunkan empat tapak utama CCUS, termasuk pembangunan infrastruktur hab CCS di Kerteh secara berfasa mengikut kesediaan teknikal dan komersial.
  • Agensi CCUS Malaysia telah mengeluarkan dua permit penilaian luar pesisir kepada syarikat di bawah Petronas untuk menilai kesesuaian tapak penyimpanan CO2.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka melancarkan Pelan Hala Tuju Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) pada hujung bulan ini, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata kerajaan juga sedang menggerakkan kajian khusus untuk meneliti kluster CCUS, yang dijangka selesai menjelang suku keempat 2027.

"Pembangunan CCUS bukan hanya melibatkan lapangan penyimpanan, tetapi turut merangkumi potensi nilai yang boleh diwujudkan menerusi pemerangkapan dan penggunaan karbon.

Advertisement

"Proses kajian itu juga akan melibatkan sesi bersama kerajaan negeri bagi mendapatkan pandangan serta merangka perancangan pembangunan secara strategik," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjelaskan perkara itu ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai perkembangan terkini pelaksanaan CCUS.

Advertisement

Katanya ketika ini tumpuan pembangunan hab pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) di Kuantan, Pahang akan diberikan perhatian memandangkan Lapangan Lawit yang terletak di luar pesisir Terengganu masih berkeupayaan untuk mengeluarkan gas yang dijangka melangkaui 2035.

Lapangan Lawit merupakan salah satu daripada empat tapak utama CCUS yang sedang dibangunkan oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

"Perancangan pembangunan infrastruktur hab CCS di Kerteh termasuk kapasiti penyimpanan karbon akan dirancang dan dilaksanakan secara berfasa oleh Petronas mengikut kesediaan teknikal dan komersial.

"Kerajaan juga sedang giat melaksanakan projek rintis aktiviti pemerangkapan karbon dioksida (CO2) dalam industri besi dan keluli di Kemaman, Terengganu," kata Akmal Nasrullah.

Beliau menjelaskan inisiatif itu bertujuan menyediakan satu kos asas (baseline) yang boleh dijadikan panduan dan rujukan oleh industri untuk melihat potensi teknologi CCUS sebagai salah satu langkah mitigasi pelepasan karbon.

Ahmad Amzad juga ingin tahu mengenai perancangan kapasiti penyimpanan, kemajuan infrastruktur dan pelan pembangunan di kawasan Kerteh sebagai salah satu hab CCUS negara menjelang 2030.

Dalam hal ini, Akmal Nasrullah berkata Agensi CCUS Malaysia bertanggungjawab mentadbir, mengawal selia serta memastikan keberkesanan pelaksanaan Akta 870 dan segala perundangan subsidiari di bawahnya, termasuk menerusi mekanisme pengeluaran permit dan lesen.

Sehingga September 2026, agensi itu telah mengeluarkan dua permit penilaian luar pesisir kepada syarikat pemohon di bawah Petronas untuk melaksanakan penilaian dalam menentukan kesesuaian tapak penyimpanan CO2.

Kedua-dua permit penilaian itu memfokuskan kepada tapak geologi di kawasan luar pesisir Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement