Skip to main content

Dunia

Naib Presiden Indonesia Gibran serah surat peletakan jawatan secara rasmi

Gibran (tengah) dikerumuni wakil media ketika tiba di bangunan Parlimen untuk menyerahkan surat peletakan jawatannya di Jakarta, Indonesia, 12 Nov 2026. (Foto AP)
Gibran (tengah) dikerumuni wakil media ketika tiba di bangunan Parlimen untuk menyerahkan surat peletakan jawatannya di Jakarta, Indonesia, 12 Nov 2026. (Foto AP)

Ringkasan AI

  • Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka, secara rasmi menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) pada Khamis.
  • MPR mempunyai tempoh maksimum 60 hari untuk memilih naib presiden baharu selepas peletakan jawatan Gibran diterima secara rasmi.
  • Peletakan jawatan Gibran berkait dengan keputusan Mahkamah Agung yang mengisytiharkan sijil penyetaraan pendidikan sekolah menengah atas beliau tidak sah.
Advertisement

JAKARTA: Naib Presiden Indonesia Gibran Rakabuming Raka pada Khamis menyerahkan surat peletakan jawatannya secara rasmi kepada Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR), menurut Speaker MPR Ahmad Muzani.

Beliau berkata Gibran menyerahkan sendiri surat itu dalam pertemuan selama kira-kira 20 minit di bangunan Nusantara III, kompleks Parlimen di Jakarta, sambil memaklumkan kepada pucuk pimpinan MPR bahawa surat yang sama turut diserahkan kepada Presiden Prabowo Subianto.

"Semasa pertemuan itu, Gibran menjelaskan bahawa tujuan beliau bertemu dengan pucuk pimpinan MPR adalah untuk menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden Republik Indonesia," katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Advertisement

MPR dianggotai oleh ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan Dewan Perwakilan Daerah (DPD) serta mempunyai kuasa berperlembagaan termasuk memilih pengganti naib presiden sekiranya berlaku kekosongan jawatan.

Ahmad Muzani berkata Gibran meminta MPR supaya memproses peletakan jawatannya dengan segera, dan pucuk pimpinan majlis itu akan bermesyuarat pada Khamis untuk membincangkan langkah seterusnya.

Advertisement

"Pucuk pimpinan MPR akan mengadakan mesyuarat hari ini bagi mengambil tindakan susulan terhadap peletakan jawatan itu, sekali gus membolehkan majlis berkenaan mengadakan mesyuarat bersama yang melibatkan pemimpin fraksi MPR dan kumpulan DPD untuk menentukan langkah seterusnya," katanya.

Beliau berkata MPR mempunyai tempoh maksimum 60 hari dari tarikh peletakan jawatan Gibran untuk memilih naib presiden baharu, manakala Presiden Prabowo mempunyai tempoh 14 hari selepas MPR mengeluarkan permintaan rasmi untuk mengemukakan dua calon bagi jawatan itu.

Penyerahan rasmi surat peletakan jawatan Gibran itu menyusuli pertemuan dengan Prabowo di Istana Presiden pada Selasa (10 Nov), ketika beliau menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan susulan perkembangan undang-undang berkaitan dokumen pendidikannya.

Setiausaha Negara Prasetyo Hadi berkata pertemuan itu berlangsung kira-kira dua jam setengah dan Prabowo tidak menolak hasrat Gibran untuk meletakkan jawatan.

Sebelum bertemu dengan pucuk pimpinan MPR, Gibran sekali lagi mengadakan pertemuan dengan Prabowo di Istana Presiden pada pagi Khamis, menurut agensi berita Antara.

Mahkamah Perlembagaan Indonesia pada 6 Okt memutuskan bahawa petisyen yang mencabar kelayakan Gibran untuk memegang jawatan itu tidak boleh diterima, manakala Mahkamah Agung kemudiannya mengisytiharkan sijil penyetaraan pendidikan sekolah menengah atas Gibran tidak sah pada 30 Okt, lapor Antara.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement