Skip to main content

Malaysia

Kilang padi perlu kelulusan KPB untuk operasi melebihi 7 malam

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Semua pengusaha kilang padi, termasuk Bernas, perlu mendapatkan kelulusan Kawal Selia Padi dan Beras negeri untuk melanjutkan operasi selepas 7 malam.
  • Kawalan waktu operasi bertujuan menjaga kualiti padi dan pendapatan pesawah, tanpa kelonggaran khas kepada mana-mana pengusaha.
  • Kementerian bersedia meneliti semula konsesi Bernas sebagai pengimport tunggal beras, dengan libat urus bersama kerajaan Sabah dan Sarawak jika perlu.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Semua pengusaha kilang padi termasuk Padiberas Nasional Berhad (Bernas) perlu mendapatkan kelulusan Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) negeri sekiranya ingin melanjutkan waktu operasi pusat pembelian padi melebihi 7 malam.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin berkata permohonan rasmi secara bertulis perlu dikemukakan kepada KPB negeri, dengan kelulusan lazimnya diberikan sehingga 8 malam.

Beliau berkata kawalan itu bertujuan mengelakkan aktiviti penuaian padi pada waktu malam berikutan kelembapan tinggi dan pembentukan embun yang boleh menjejaskan kualiti padi, meningkatkan kadar potongan mutu serta mengurangkan pendapatan pesawah.

Advertisement

“Tiada kelonggaran khas diberikan kepada mana-mana pengusaha termasuk Bernas. Tidak kira swasta atau Bernas, kesemuanya tertakluk kepada syarat sama sekiranya ingin menjalankan pembelian padi selepas 7 malam,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Abdul Ghani Ahmad (PN-Jerlun) yang ingin mengetahui prosedur dan syarat bagi membolehkan Bernas melanjutkan waktu operasi pusat pembelian padi melebihi 7 malam, selain meminta data perbandingan harga serta tempoh pembayaran antara Bernas dengan kilang swasta.

Advertisement

Mengulas lanjut, Chan berkata harga lantai padi merupakan harga minimum yang ditetapkan kerajaan dan bukannya harga maksimum, justeru kilang swasta dibenarkan menawarkan harga lebih tinggi tertakluk kepada kuasa pasaran.

Menjawab soalan tambahan Datuk Ewon Benedick (GRS-Penampang) mengenai status lanjutan kontrak Bernas sebagai pengimport tunggal beras serta kemungkinan mendapatkan pandangan kerajaan negeri Sabah sebelum keputusan dibuat, Chan berkata konsesi itu masih berbaki empat tahun dan akan tamat pada 10 Jan 2031.

“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersedia untuk melaksanakan sebarang kajian bagi meneliti semula secara komprehensif keperluan untuk menyambung semula konsesi ini ataupun sebaliknya, dan pihak kementerian memang bersikap terbuka.

“...dan kalau perlukan libat urus seterusnya dengan kerajaan Sabah dan Sarawak memang (akan) diaturkan memandangkan ini isu penting melibatkan ketetapan dasar, selain memastikan bekalan mencukupi di Sabah dan Sarawak kerana negeri tersebut amat bergantung kepada padi import sekarang,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement