PLATFORM media sosial kendalian Meta, Threads secara rasmi memperkenalkan fungsi carian terperinci yang dikenali sebagai 'Advanced Search' bagi memudahkan pengguna menjejak semula hantaran dan perbincangan lama, lapor Amanz.
Menurut pengumuman menerusi akaun rasmi platform berkenaan pada 10 Nov lepas, ciri baharu itu membolehkan pengguna memperincikan carian menggunakan kata kunci spesifik serta pilihan padanan tepat bagi carian berbilang perkataan.
Fungsi berkenaan boleh diakses dengan menekan ikon menu penapis yang terletak di bahagian sebelah kanan ruang carian utama pada antara muka aplikasi terbabit.
Menerusi menu tersebut, pengguna boleh menetapkan pelbagai kriteria khusus merangkumi julat tarikh hantaran, jenis kandungan, profil tertentu, sebutan (mentions) serta komuniti atau tanda pagar yang berkaitan.
Selain itu, sistem carian berkenaan turut menyediakan pilihan untuk menyusun hasil carian berdasarkan hantaran paling popular terlebih dahulu bagi mempercepatkan proses penemuan topik yang relevan.
Pelancaran fungsi 'Advanced Search' itu sedang dilaksanakan secara berperingkat kepada semua pengguna di seluruh dunia dan orang ramai disarankan mengemas kini aplikasi Threads masing-masing kepada versi terkini bagi menikmati ciri berkenaan.
https://amanz.my/2026588257