Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) meluaskan rangkaian cawangannya menerusi pembukaan cawangan Ranau, yang beroperasi di Kedai SEDCO, Blok D, Lot 6, di pekan Ranau, yang terletak di kaki Gunung Kinabalu.

Pembukaan cawangan tersebut meluaskan lagi operasinya bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin bertambah.

Ia juga selaras dengan komitmen Agrobank untuk menyediakan perkhidmatan perbankan moden kepada masyarakat luar bandar, khususnya di kawasan pertanian seperti daerah Ranau, yang merupakan antara kawasan pengeluaran sayur utama di Sabah, selain buah-buahan dan ternakan.

Selain itu, kedudukan Cawangan Ranau juga strategik dan merupakan pekan persinggahan utama bagi pengguna kenderaan yang ingin ke Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Sandakan.

Perasmian cawangan itu disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri Karanaan (Ranau) Datuk Masidi Manjun, semalam.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman dan Pegawai Daerah Ranau Faimin Kamin.

Menurut Wan Mohd Fadzmi, pembukaan cawangan baharu dilaksanakan secara berperingkat dari semasa ke semasa di lokasi-lokasi strategik dan berpotensi, bagi memastikan pertumbuhan prestasi yang kukuh dari segi operasi perbankan dengan capaian perkhidmatan kepada golongan sasar yang meluas di seluruh negara.

Agrobank Cawangan Ranau beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 4.30 petang, Isnin hingga Jumaat dan menyediakan pelbagai perkhidmatan kewangan, kemudahan perbankan, perkhidmatan deposit, kemudahan pinjaman, perlindungan insurans, khidmat nasihat dan pelbagai perkhidmatan lain termasuk kemudahan mesin ATM dan mesin deposit tunai (CDM).