Skip to main content

Malaysia

Festival Of Ideas Putrajaya: Penyelidikan Falak UM jadi asas pemantapan dasar agama

Kerjasama antara pakar syariah, astronomi, sains, teknologi dan agensi kerajaan menjadi kekuatan dalam memastikan hasil penyelidikan dapat dimanfaatkan di luar lingkungan akademik. - Foto: Universiti Malaya
Kerjasama antara pakar syariah, astronomi, sains, teknologi dan agensi kerajaan menjadi kekuatan dalam memastikan hasil penyelidikan dapat dimanfaatkan di luar lingkungan akademik. - Foto: Universiti Malaya
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penyelidikan falak Universiti Malaya (UM) yang dilaksanakan sejak lebih 25 tahun lalu bukan sekadar memperkaya bidang astronomi Islam, malah menjadi antara rujukan saintifik dalam membantu pihak berkuasa agama memperkemas penetapan waktu Subuh, cerapan anak bulan dan panduan jarak perjalanan bagi solat jamak serta qasar.

Pensyarah Jabatan Fiqh-Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam UM, Prof Madya Dr Mohd Saiful Anwar Mohd Nawawi, berkata penyelidikan berterusan itu membuktikan kepentingan peranan universiti dalam menterjemahkan ilmu akademik kepada dasar dan panduan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan masyarakat.

Beliau berkata, usaha penyelidikan cerapan anak bulan dimulakan pada tahun 2000 oleh Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Zambri Zainuddin bersama pasukan penyelidik UM, dengan aktiviti cerapan dilaksanakan secara berterusan setiap bulan melalui kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pelbagai agensi kerajaan.

Image
Inovasi UM_UM


Katanya, rekod cerapan yang dikumpulkan secara sistematik sepanjang lebih dua dekad itu penting bagi mengenal pasti keadaan dan faktor yang mempengaruhi kebolehlihatan anak bulan, terutama kerana kedudukannya yang rendah di ufuk selepas matahari terbenam.

"Anak bulan bukan mudah untuk dilihat kerana bentuknya sangat halus dan kadangkala hampir tenggelam dalam cahaya senja. Keadaan cuaca seperti awan dan jerebu turut menyukarkan proses cerapan.

"Perkembangan teknologi teleskop, kamera digital dan komputer membuka ruang kepada kaedah cerapan lebih terperinci, termasuk mengesan anak bulan yang sukar dilihat menggunakan mata kasar.

"Bagaimanapun, penggunaan teknologi pengimejan turut menimbulkan persoalan dari sudut hukum syarak, khususnya berkaitan penerimaan imej digital sebagai bukti penentuan anak bulan. 

"Justeru, penyelidikan UM menggabungkan kepakaran sains dan syariah bagi memastikan imej yang dirakam benar-benar menunjukkan anak bulan dan bukan gangguan atau kesan cahaya," katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.

Image
Inovasi UM_UM


Beliau berkata, hasil penyelidikan itu turut menyumbang input saintifik dan syariah kepada pihak berkuasa agama, termasuk dalam pewartaan Fatwa Hukum Pengisbatan Anak Bulan di Selangor pada 2024 yang mengharuskan penggunaan teknik pengimejan dengan syarat tertentu.

Jelas beliau, pendekatan berkenaan turut diperincikan dalam garis panduan cerapan hilal JAKIM dan diketengahkan dalam perbincangan serantau membabitkan Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura.

Selain cerapan anak bulan, Saiful berkata, penyelidik UM turut terbabit dalam kajian penentuan waktu Subuh bersama beberapa institusi penyelidikan dan agensi kerajaan bagi menilai semula kaedah pengiraan waktu berkenaan berdasarkan data saintifik.

Katanya, kajian itu memberi tumpuan kepada penentuan kemunculan cahaya fajar sebelum matahari terbit, sekali gus membantu pihak berautoriti menilai ketepatan kaedah yang digunakan dalam penetapan waktu solat.

Advertisement
Image
PUTRAJAYA, 27 Mei -- Para jemaah selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA


"Hasil penyelidikan berkenaan menjadi antara asas pertimbangan dalam keputusan menyelaraskan penentuan waktu Subuh di Malaysia," katanya, sambil menjelaskan perubahan itu menyebabkan waktu azan Subuh di kebanyakan negeri menjadi lewat kira-kira lapan minit berbanding sebelumnya.

Dalam pada itu, penyelidikan UM berkaitan penentuan jarak dua marhalah turut membantu memperjelas panduan perjalanan bagi membolehkan umat Islam menunaikan solat jamak dan qasar. 

Menurut beliau, kajian berkenaan meneliti kaedah menterjemahkan ukuran dalam kitab fiqh klasik kepada ukuran kilometer yang digunakan pada masa kini.

Beliau berkata, perbezaan kaedah pengukuran sebelum ini menyebabkan jarak dua marhalah dirujuk pada ukuran berbeza, termasuk 89, 90 dan 91 kilometer, sebelum Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-118 pada 2021 bersetuju menyelaraskan jarak berkenaan kepada anggaran 81 kilometer.

Image
71709871766_Wanitasolat.jpg


"Keputusan itu memberikan rujukan lebih jelas kepada pihak berkuasa agama dan masyarakat, tertakluk kepada ketetapan yang berkuat kuasa di negeri masing-masing," katanya.

Mengulas peranan penyelidikan universiti dalam pembentukan dasar, beliau berkata inovasi tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut penciptaan mesin, robot atau teknologi canggih, sebaliknya turut merangkumi usaha menghasilkan keputusan lebih tepat dan panduan lebih jelas untuk masyarakat. 

Katanya, kerjasama antara pakar syariah, astronomi, sains, teknologi dan agensi kerajaan menjadi kekuatan dalam memastikan hasil penyelidikan dapat dimanfaatkan di luar lingkungan akademik.

Beliau berkata, Festival Idea Putrajaya (FIP) 2026 pula berperanan sebagai platform mempertemukan penyelidik, masyarakat, industri dan pembuat dasar, selain mengetengahkan kejayaan penyelidikan tempatan menerusi aspirasi 'The Malaysian Success Story' dan usaha mengangkat Putrajaya sebagai 'City of Ideas'. 

"Nilai sesuatu idea bukan hanya pada kehebatannya di atas kertas, tetapi pada manfaat yang dapat diberikan kepada masyarakat," katanya.
 

Must Watch Video

Advertisement