Skip to main content

Bisnes

Peralihan ke JSCMC perhebat kerjasama Johor-Singapura, jadi model integrasi serantau ASEAN

Dalam situasi global yang semakin tidak menentu, rakan serantau yang berkongsi matlamat sama perlu bekerjasama dengan lebih rapat bagi memacu pertumbuhan dan peluang pekerjaan. - Foto: Kementerian Ekonomi
Dalam situasi global yang semakin tidak menentu, rakan serantau yang berkongsi matlamat sama perlu bekerjasama dengan lebih rapat bagi memacu pertumbuhan dan peluang pekerjaan. - Foto: Kementerian Ekonomi
Advertisement

SINGAPURA: Penstrukturan semula platform kerjasama dua hala menerusi Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Menteri bagi Kerjasama Johor-Singapura (JSCMC) menandakan fasa baharu dalam memperkukuh hala tuju strategik dan daya saing serantau.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, koordinasi erat antara Putrajaya, Singapura dan kerajaan negeri Johor menerusi platform ini berpotensi dijadikan contoh integrasi ekonomi apabila Singapura mempengerusikan ASEAN tahun hadapan.

"Contoh kerjasama ini boleh diangkat dan ditunjukkan apabila Singapura menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan sebagai pintu masuk kepada rantau ini dari segi pelaburan serta kerjasama rentas sempadan," katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Pembangunan Negara Singapura, Chee Hong Tat selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Gardens by the Bay, pada Isnin.

Sidang media itu turut disertai Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Negara Kanan bagi Pembangunan Negara dan Pengangkutan Singapura, Sun Xueling.

Advertisement

Sementara itu, Chee menegaskan dalam situasi global yang semakin tidak menentu, rakan serantau yang berkongsi matlamat sama perlu bekerjasama dengan lebih rapat bagi memacu pertumbuhan dan peluang pekerjaan.

Jelasnya, skop kerjasama di bawah JSCMC meliputi bidang yang meluas merangkumi pembangunan bakat, kemudahan pergerakan rakyat dan barangan, promosi pelaburan bersama serta pengukuhan kesalinghubungan pengangkutan.

Kerjasama kesalinghubungan tersebut disokong oleh pelbagai inisiatif termasuk penambahbaikan perkhidmatan teksi rentas sempadan, laluan feri, serta pengoperasian Sistem Transit Rapid (RTS) menjelang awal tahun depan.

Peralihan daripada Jawatankuasa Menteri Bersama bagi Iskandar Malaysia (JMCIM) kepada JSCMC mencerminkan hubungan dua hala yang semakin meluas, khususnya dalam memantau pelaksanaan keutamaan di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Must Watch Video

Advertisement