BISNES
Ahmad Redza diumum sebagai pengerusi baharu KTMB

Ahmad Redza kini menerajui REC Legal sebagai Rakan Kongsi Pengurusan, dan kepimpinan beliau mencerminkan keupayaan membawa ketegasan prinsip, ketelusan dan integriti ke dalam pentadbiran KTMB. - Foto DagangNews
Pengasas bersama firma guaman tersohor Messrs. Shahrizat Rashid Lee Datuk Ahmad Redza Abdullah diumumkan sebagai pengerusi baharu Lembaga Pengarah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkuat kuasa Ogos 2025.
Menurut kenyataan KTMB hari ini, pihaknya yakin dengan pengalaman dimiliki Ahmad Redza lebih tiga dekad dalam menangani kes-kes litigasi berprofil tinggi serta nasihat korporat strategik, beliau mampu memperkukuh landskap tadbir urus dan merancakkan transformasi korporat KTMB ke arah masa depan yang lebih progresif dan mampan.
"Pelantikan itu disambut baik oleh seluruh lembaga pengarah, pengurusan kanan dan warga kerja KTMB, memandangkan kredibiliti serta rekod cemerlang Ahmad Redza dalam bidang perundangan dan korporat," menurut kenyataan itu.
Ahmad Redza kini menerajui REC Legal (Redza Eleena Chong) sebagai Rakan Kongsi Pengurusan dan kepimpinan beliau dalam firma berkenaan yang diiktiraf atas kepakaran dalam litigasi perdagangan dan korporat mencerminkan keupayaan beliau untuk membawa ketegasan prinsip, ketelusan dan integriti ke dalam pentadbiran KTMB."Sepanjang kerjaya beliau, Ahmad Redza telah membimbing serta mewakili syarikat tempatan dan antarabangsa dalam pelbagai isu penting melibatkan penyusunan semula korporat, pertikaian pemegang saham serta litigasi dalam sektor strategik seperti pembinaan dan perbankan.
"Kefahaman mendalam beliau terhadap ekosistem perniagaan dan kawal selia menjadikannya aset yang berharga dalam menyokong hala tuju jangka panjang syarikat serta memperkukuh keyakinan pemegang taruh," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Teknikal KTMB Ahmad Nizam Mohamed Amin dilantik bagi menanggung tugas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, susulan tamat tempoh perkhidmatan Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin.
Ia bagi memastikan kelangsungan operasi dan kesinambungan strategi pengurusan syarikat.
KTMB turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mohd Rani atas khidmat baktinya sepanjang tempoh perkhidmatan dan berharap beliau akan terus memberi sumbangan bermakna dalam industri rel pada peringkat lebih luas.
"KTMB menzahirkan keyakinan bahawa di bawah kepimpinan strategik Ahmad Redza sebagai pengerusi bersama-sama dengan sokongan padu pengurusan serta pemegang taruh, syarikat akan berada pada landasan kukuh untuk melangkah ke fasa pertumbuhan yang lebih signifikan dipacu oleh inovasi, pendigitalan dan kecemerlangan perkhidmatan," menurut kenyataan itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami