KOTA BHARU: Polis Kelantan merekodkan enam kertas siasatan berkaitan kes buli, dengan satu kes telah dituduh, tiga masih dalam siasatan manakala dua lagi diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, isu buli dan keganasan dalam kalangan pelajar perlu diberikan perhatian serius, bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.
Beliau berkata pada 6 Okt, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan sebanyak 5,681 kes buli dilaporkan di sekolah seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026.
Mohd Yusof berkata, kematian Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril di Negeri Sembilan dan Allahyarham Irene Sofiya di Johor, menjadi peringatan bahawa keganasan dalam kalangan golongan muda tidak boleh dipandang ringan.
Sehubungan dengan itu, beliau meminta semua Ketua Polis Daerah dan pegawai perhubungan sekolah di Kelantan mempererat kerjasama dengan pihak sekolah, ibu bapa serta komuniti bagi memperkukuh usaha pencegahan.
“Setiap aduan perlu diberikan perhatian dan setiap tindakan mesti dilaksanakan secara profesional. Jangan tunggu tragedi berlaku untuk kita bertindak,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Kontinjen Kelantan bagi Oktober 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, sekolah perlu kekal sebagai tempat yang selamat untuk pelajar menimba ilmu, membina impian dan membesar tanpa ketakutan.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha melindungi generasi muda memerlukan tindakan bersama semua pihak bagi memastikan keselamatan pelajar sentiasa terpelihara.
-- BERNAMA