KUALA LUMPUR: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berjaya menetapkan harga sukuk biru pertama di dunia dan terbitan bon/sukuk biru pertama di Malaysia, dengan nilai nominal RM200 juta.
Sukuk Kelestarian SRI Biru bertempoh matang 15 tahun itu akan diterbitkan di bawah Program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) Air Selangor bernilai RM20 bilion.
Dalam kenyataan bersama pada Rabu, Air Selangor dan CIMB Group Holdings Bhd memaklumkan, terbitan bersejarah itu merupakan satu pencapaian penting dalam pembangunan pembiayaan mampan bagi sektor air dalam pasaran modal Malaysia.
Menurut mereka, terbitan itu turut mencerminkan komitmen Air Selangor untuk menggerakkan pembiayaan mampan bagi projek yang mampu memberikan impak alam sekitar yang boleh diukur.
Terbitan itu turut mencerminkan komitmen Air Selangor untuk menggerakkan pembiayaan mampan bagi projek yang mampu memberikan impak alam sekitar yang boleh diukur.
Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali berkata, pembangunan infrastruktur air yang berdaya tahan memerlukan pelaburan jangka panjang yang disokong oleh mekanisme pembiayaan mampan.
"Sukuk biru pertama di dunia ini mencerminkan komitmen kami untuk memperkenalkan penyelesaian pembiayaan yang inovatif dalam memperkukuh keselamatan bekalan air, melindungi sumber semula jadi serta mewujudkan nilai jangka panjang kepada komuniti yang kami berkhidmat," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Investment Bank, Nor Masliza Sulaiman berkata, pencapaian itu membuktikan keupayaan CIMB sebagai pengatur urus niaga pasaran modal serta rakan strategik dalam pembiayaan mampan.
"Kami berharap terbitan bersejarah ini akan mempercepat penggunaan pembiayaan biru di Malaysia dan rantau ini, sekali gus menggalakkan lebih banyak penggemblengan modal bagi menyokong keselamatan air, daya tahan alam sekitar dan pembangunan mampan," katanya.
CIMB Investment Bank bertindak sebagai penasihat tunggal penstrukturan kemampanan serta pengurus utama tunggal bagi urus niaga berkenaan.
-- BERNAMA