KUALA LUMPUR: AirAsia Group Bhd yang sebelum ini dikenali sebagai AirAsia X Bhd, mencatatkan kerugian bersih berjumlah RM527.16 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir pada 30 Jun 2026, terutamanya akibat peningkatan kos bahan api dan kerugian dalam pertukaran asing.
Perolehan hasilnya berjumlah RM5.08 bilion bagi suku berkenaan, menurut kumpulan itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis.
“Penyumbang utama kerugian itu adalah peningkatan perbelanjaan bahan api selepas purata harganya melonjak 66 peratus daripada suku sebelumnya dengan sebahagian besarnya dipacu oleh ketegangan geopolitik akibat konflik di Asia Barat," menurutnya.
Pada masa sama, menurut kumpulan itu, pihaknya mencatat kerugian bersih dalam pertukaran asing yang berjumlah RM330.97 juta akibat susut nilai mata wang serantau, termasuk ringgit, baht Thailand, rupiah Indonesia dan peso Filipina berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sepanjang tempoh suku berkenaan.
Perbelanjaan atau kos bahan api berjumlah RM2.80 billion manakala kos penyelenggaraan dan baik pulih pula mencecah RM537.34 juta dan caj pengguna RM506.51 juta.
Bagi tempoh enam bulan berakhir pada 30 Jun 2026, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM682.04 juta berbanding hasil RM11.03 bilion.
Tiada sebarang angka perbandingan yang dikemukakan berikutan pengambilalihan AirAsia oleh AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL) sepertimana dijelaskan dalam Nota 1b dan 2.1 penyata kewangan interim.
Menurut kumpulan itu, AAAGL yang merupakan sebuah syarikat milik persendirian, tidak diwajibkan dan tidak menyediakan penyata kewangan interim sebelum pengambilalihan berkenaan.
Mengulas prospek, AirAsia Group menyifatkan persekitaran operasi kekal tidak menentu di tengah-tengah ketidakstabilan geopolitik serta pasaran tenaga goyah yang menyaksikan harga bahan api jet melonjak melebihi AS$140 setong selepas mencatatkan penurunan bagi tempoh singkat pada Jun lepas.
Dalam usaha menangani lonjakan kos bahan api berkenaan, kumpulan itu berhasrat mengurangkan kapasiti tempat duduk sebanyak 20 hingga 25 peratus bagi tahun ke tahun pada suku ketiga 2026.
Langkah lain termasuk mempercepatkan pengoptimuman kumpulan pesawat dengan bertindak mengembalikan 25 pesawat lama dan kurang cekap bahan api kepada pihak pemberi pajak dalam tahun kewangan itu.
Sejajar dengan realiti ketidaktentuan geopolitik yang terus ketara, harga tenaga yang tidak menentu serta keperluan melaras kapasiti berpandukan keadaan pasaran, kumpulan itu menyifatkan adalah wajar baginya untuk bertindak mengemas kini sasaran dalaman pada peringkat ini.
Pihak Lembaga Pengarah pula tidak menyarankan sebarang dividen bagi tempoh suku berakhir pada 30 Jun 2026.
AirAsia Group merupakan kumpulan perkhidmatan penerbangan dan syarikat induk diperbesarkan bagi perniagaan penerbangan AirAsia selepas pengambilalihan AAAGL dan AirAsia Bhd daripada Capital A Bhd pada Januari 2026.
Berikutan itu, nama syarikat telah diubah daripada AirAsia X Bhd kepada AirAsia Group Bhd berkuat kuasa pada 2 Julai 2026 susulan kelulusan pemegang saham pada Jun lepas.
Pengambilalihan itu turut menyaksikan prestasi kewangan dan kedudukan kewangan entiti yang telah diambil alih, disatukan dalam kumpulan masing-masing mulai tarikh pengambilalihan.
-- BERNAMA