KUALA LUMPUR: Indeks utama Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat, seiring dengan penurunan Wall Street semalaman susulan kebimbangan yang meningkat berhubung krisis kepimpinan Nvidia.
Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menurun 1.05 mata kepada 1,584.91 daripada 1,585.96 semasa ditutup pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 0.47 mata kepada 1,585.49.
Bagaimanapun, pasaran secara menyeluruh positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 175 berbanding 150 manakala 285 kaunter tidak berubah, 2,174 kekal tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 185.37 juta unit bernilai RM66.47 juta.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Mohd Sedek Jantan berkata ekuiti Amerika Syarikat (AS) kembali berada di bawah tekanan jualan berikutan kebimbangan yang meningkat mengenai kepimpinan Nvidia, mendorong pelabur menilai semula risiko dalam ekosistem pelaburan kecerdasan buatan (AI).
Nvidia mengesahkan bahawa pengasas bersamanya, Jensen Huang telah meletak jawatan sebagai Presiden, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan ahli Lembaga Pengarah berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Pegawai Kewangannya, Colette Kress, dilantik sebagai CEO interim manakala Harvey C. Jones dinamakan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah.
Sedek berkata saham Nvidia merosot dengan ketara, menjejaskan saham semikonduktor dan sentimen seluruh sektor teknologi.
“Perkembangan ini menambah lagi ketidaktentuan kepada aktiviti pelaburan dalam sektor AI yang sedia tidak menentu, mengambil kira peranan penting Jensen Huang dalam membentuk hala tuju pelaburan industri tersebut, selain hubungan kewangan dan komersial Nvidia yang meluas dalam ekosistem AI,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata situasi itu bukan sahaja melibatkan Nvidia, malah syarikat infrastruktur AI dan pengkomputeran awan yang turut berdepan tekanan jualan.
Katanya saham penyedia perkhidmatan Neocloud, Nebius jatuh kira-kira 20 peratus walaupun mencatatkan keputusan kewangan suku tahunan yang kukuh.
Ini didorong oleh reaksi pelabur terhadap unjuran hasil yang rendah, sasaran pertumbuhan yang disemak semula dan peningkatan ketara dalam perbelanjaan modal yang dirancang kepada US$40 bilion hingga US$45 bilion, katanya.
Saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia bercampur-campur. CIMB menurun empat sen kepada RM7.05, Tenaga Nasional berkurangan dua sen kepada RM12.78, IHH Healthcare merosot satu sen kepada RM7.83 manakala Maybank naik satu sen kepada RM9.92 dan Public Bank tidak berubah pada RM4.53.
Dalam dagangan aktif, V.S. Industry dan MMAG Holdings, masing-masing menurun setengah sen kepada 28 sen dan 3.5 sen, GIIB Holdings dan Parlo, masing-masing meningkat satu sen kepada 11.5 sen dan lima sen serta Ni Hsin Group menambah setengah sen kepada sembilan sen.
Kaunter paling untung ialah Master-Pack Group meningkat 13 sen kepada RM1.55, P.I.E. Industrial naik 12 sen kepada RM1.62, UWC menambah 11 sen kepada RM6.48, Ranhill Utilities dan Mega Fortris, masing-masing menokok sembilan sen kepada RM2.99 dan RM1.10.
Kaunter paling rugi ialah Kuala Lumpur Kepong menurun 16 sen kepada RM21.22, United Plantations berkurangan 14 sen kepada RM31.46, PJBumi merosot 13 sen kepada RM4.12, Mentiga Corp menyusut sembilan sen kepada RM1.06 dan Tradeplus Shariah Gold Tracker menurun lapan sen kepada RM4.86.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 2.10 mata kepada 11,785.99, Indeks FBM Top 100 merosot 5.50 mata kepada 11,613.75 dan Indeks FBM ACE menyusut 5.78 mata kepada 5,181.13.
Sebaliknya, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 0.59 mata kepada 11,773.86 dan Indeks FBM Mid 70 naik 1.48 mata kepada 16,950.05.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menurun 12.71 mata kepada 18,444.07, Indeks Perladangan merosot 44.93 mata kepada 8,874.33, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.15 mata kepada 171.17 dan Indeks Tenaga naik 1.31 mata kepada 783.13.
-- BERNAMA