KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd telah berjaya memperbaharui pendaftarannya di bawah Audit Keselamatan Operasi (IOSA) oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), dengan tempoh sah dilanjutkan sehingga 8 Disember, 2028.
Program IOSA merupakan rangka kerja audit diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi menilai sistem pengurusan dan kawalan operasi sesebuah syarikat penerbangan berdasarkan piawaian industri yang ditetapkan.
Dalam satu kenyataan hari ini, AirAsia memaklumkan bahawa kejayaan pembaharuan ini mengukuhkan komitmen syarikat penerbangan tersebut untuk mengekalkan piawaian keselamatan operasi diiktiraf di peringkat antarabangsa serta menyediakan perjalanan udara selamat, boleh dipercayai dan mudah diakses di seluruh rangkaiannya.
Pengurus Besar AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata syarikat itu komited untuk menjadikan perjalanan udara lebih mampu milik dan mudah diakses dan kekal mendukung piawaian keselamatan tertinggi.
“Kejayaan pembaharuan IOSA ini mencerminkan profesionalisme dan dedikasi kolektif warga kerja kami dalam mengekalkan kecemerlangan operasi. Kami akan terus memperkukuh amalan keselamatan dan memupuk budaya keselamatan yang mantap merentasi semua aspek operasi kami,” katanya.
Menurut AirAsia, pembaharuan tahun ini dijalankan menggunakan pendekatan IOSA Berasaskan Risiko (RBI). Dalam audit RBI pertamanya itu, AirAsia telah mencapai penarafan 'Matang' (Mature) yang mencerminkan penilaian positif terhadap proses pengurusan keselamatan dan amalan operasi syarikat penerbangan tersebut.
“Kejayaan pembaharuan ini membuktikan lagi tumpuan berterusan AirAsia terhadap disiplin operasi, pengurusan keselamatan yang berkesan serta pematuhan kepada keperluan keselamatan penerbangan yang diiktiraf,” menurut kenyataan.
AirAsia menegaskan bahawa ia kekal komited untuk menjadikan perjalanan udara lebih mudah diakses, dengan meletakkan keselamatan sebagai keutamaan tertinggi.
“Dengan keselamatan menjadi teras kepada setiap operasi, syarikat penerbangan ini akan terus menghubungkan orang ramai, komuniti dan destinasi melalui perjalanan udara boleh dipercayai dan mampu milik serta memastikan bahawa aksesibiliti tidak sekali-kali menjejaskan aspek keselamatan,” menurut AirAsia.
-- BERNAMA