Skip to main content

Politik

PRN Sarawak: Kecewa tidak dipilih, Wilson Entebang sah cabar GPS di Simanggang

Wilson (foto) berkata beliau pada mulanya mempertimbangkan untuk mengundurkan diri daripada politik, namun sokongan berterusan daripada penyokong akar umbi dan masyarakat luar bandar mendorongnya untuk meneruskan perjuangan. -Gambar Astro AWANI
Wilson (foto) berkata beliau pada mulanya mempertimbangkan untuk mengundurkan diri daripada politik, namun sokongan berterusan daripada penyokong akar umbi dan masyarakat luar bandar mendorongnya untuk meneruskan perjuangan. -Gambar Astro AWANI
Advertisement

KUCHING: Kecewa tidak dipilih sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang, Wilson Entebang mengumumkan akan bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.

Dalam kenyataan kepada media, Wilson, 59, berkata keputusan GPS untuk tidak menamakan beliau sebagai calon bukan sesuatu yang mudah diterima selepas bertahun-tahun berkhidmat dan mendekati masyarakat di kawasan berkenaan.

“Saya tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa. Sudah tentu, sebagai seseorang yang telah sekian lama menaruh harapan dan berusaha untuk mendapatkan peluang ini, keputusan tersebut bukan sesuatu yang mudah untuk diterima.

Advertisement

“Selama ini, saya telah turun padang, berjalan dari satu kawasan ke kawasan yang lain, membawa logo GPS, memperkenalkan visi dan misi serta menyampaikan perjuangan GPS kepada masyarakat,” katanya.

Jelasnya, beliau telah melakukan semua itu dengan penuh keikhlasan kerana benar-benar percaya dengan perjuangan dan berharap suatu hari nanti diberi peluang untuk berkhidmat serta mewakili suara masyarakat Simanggang.

Advertisement

Menurut Wilson, beliau pada mulanya mempertimbangkan untuk mengundurkan diri daripada politik, namun sokongan berterusan daripada penyokong akar umbi dan masyarakat luar bandar mendorongnya untuk meneruskan perjuangan.

“Saya sebenarnya boleh sahaja menerima keputusan ini, berundur dan menamatkan perjalanan politik saya di sini dan berehat serta memberikan lebih banyak perhatian kepada keluarga.

“Namun, sokongan dan rayuan daripada penyokong akar umbi serta masyarakat, khususnya dari kawasan luar bandar, membuatkan saya berfikir semula," ujarnya lagi.

Katanya, masih ramai yang meminta beliau untuk tidak mengalah dan terus membawa suara mereka.

“Saya mungkin boleh menerima kekecewaan sendiri, tetapi saya tidak sanggup mengecewakan mereka yang selama ini berdiri bersama dan meletakkan kepercayaan kepada saya.

“Atas dasar tanggungjawab, kepercayaan masyarakat dan semangat demokrasi, saya membuat keputusan untuk bertanding sebagai calon Bebas DUN N32 Simanggang,” katanya.

Tegasnya, keputusan tersebut bukan didorong oleh dendam, apatah lagi niat untuk bermusuh dengan mana-mana pihak.

“Saya berharap keputusan ini dapat dilihat sebagai satu bentuk persaingan yang sihat dalam amalan demokrasi, di mana setiap individu mempunyai hak untuk menawarkan khidmat dan membawa suara masyarakat.

“Saya ingin menjelaskan bahawa keputusan untuk bertanding sebagai calon Bebas bukan bermaksud saya menentang GPS, apatah lagi memilih jalan sebagai pembangkang kepada Kerajaan Sarawak,” katanya.

Jelas Wilson lagi, beliau tetap menghormati keputusan parti dan berharap hubungan serta kerjasama yang baik dengan GPS serta Kerajaan Sarawak dapat diteruskan demi kepentingan masyarakat Simanggang.

“Mungkin saya tidak terpilih sebagai calon parti, tetapi saya tidak mahu berpaling daripada mereka yang masih percaya dan mengharapkan saya.

“Bagi saya, perjuangan ini bukan sekadar tentang menjadi calon atau memegang jawatan, tetapi tentang amanah dan kepercayaan masyarakat yang tidak boleh dipandang ringan," katanya lagi.

Pada PRN Sarawak Ke-12, Wilson yang juga bekas Timbalan Pengarah Pertanian Sarawak bertanding atas tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB), namun tewas kepada penyandang Datuk Francis Harden Hollis dengan majoriti 175 undi.

Kerusi ini pasti menyaksikan pertempuran menarik kerana Wilson akan mencabar calon muka baharu GPS, Leonard Libau Anol, yang tugas terakhirnya adalah sebagai Temenggong Iban Bahagian Sri Aman.

DUN N32 Simanggang mempunyai 21,734 pemilih berdaftar termasuk 246 pengundi awal.

Must Watch Video

Advertisement