KUALA LUMPUR: Masjid Warisan yang bakal dibina di Jalan Davis, berhampiran Tun Razak Exchange (TRX), perlu terserlah di sebalik deretan bangunan pencakar langit di ibu negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, reka bentuk masjid berkenaan perlu mengangkat identiti seni bina Islam dan warisan Melayu serta Malaysia, seiring kemajuan teknologi moden.
“Kerana masjid ini tertegak di kawasan yang bangunannya pencakar langit semua, tak boleh rendah sangat. Dua tingkat pun dia tenggelam.
“Tetapi saya mahu menjadikan Masjid Warisan ini masjid hebat di Wilayah Persekutuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Projek Masjid Warisan di Jalan Davis, di sini, hari ini.
Anwar berkata, kerja-kerja awalan pembinaan masjid berkenaan melibatkan kos sebanyak RM4.1 juta, dengan perancangan dan pelaksanaan projek itu mahu disegerakan.
Beliau turut menghargai kerjasama pihak TRX dalam menyediakan laluan pejalan kaki bagi memudahkan ribuan warga kerja di pusat kewangan berkenaan menunaikan solat di masjid itu.
Menurut kenyataan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), projek itu dirancang untuk dilaksanakan di bawah siling peruntukan RM70 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan peruntukan permulaan RM500,000 bagi 2027.
Berkonsepkan ‘Masjid Dalam Taman’, masjid warisan pertama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu bakal dibangunkan di atas tapak seluas 4.6 ekar dan mampu menampung sehingga 4,500 jemaah pada satu-satu masa.
Dalam pada itu, Anwar turut menyambut baik cadangan mewujudkan kawasan takungan air berbentuk tasik di masjid berkenaan bagi membantu menangani isu banjir.
Katanya, kerajaan bersedia membantu sekiranya terdapat keperluan kewangan tambahan, selain mendapatkan sokongan pihak korporat.
Perdana Menteri turut menekankan kepentingan institusi masjid dalam membangunkan ekosistem masyarakat, termasuk membela golongan miskin dan terpinggir tanpa mengira agama.
“Mendirikan masjid itu bukan sekadar membina infrastruktur, mesti berteraskan niat yang baik dan cita-cita untuk mengangkat martabat umat dengan keluhuran jiwa dan keikhlasan,” katanya lagi.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atas pembabitan mereka dalam menghasilkan reka bentuk masjid berkenaan.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan; Rektor UIAM, Prof Emeritus Datuk Osman Bakar serta Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (IUMS), Prof Ali Muhyiddin al-Qaradaghi.