KUALA LUMPUR: AirAsia mengesahkan akan menyelaraskan sementara tarikh pembayaran gaji pekerjanya di Malaysia ke penghujung setiap bulan sehingga Mac 2027 bagi membolehkan syarikat itu menyusun semula proses pembayaran gaji dalaman.
Langkah itu dibuat ketika syarikat penerbangan tersebut berdepan peningkatan kos operasi termasuk harga bahan api jet yang lebih tinggi, selain melaksanakan beberapa langkah penjimatan tunai susulan tekanan kewangan yang berpanjangan.
Dalam kenyataan kepada Business Times, AirAsia berkata gaji pekerja akan terus dibayar sepenuhnya dan perubahan jadual pembayaran itu tidak menjejaskan hak atau kelayakan gaji mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Bo Lingam, berkata tarikh pembayaran gaji akan diselaraskan sementara ke penghujung setiap bulan sepanjang tempoh peralihan berkenaan.
"Syarikat memahami perubahan terhadap jadual pembayaran biasa itu mungkin memerlukan penyesuaian dalam kalangan pekerja atau warga kerja Allstars.
“Kami menghargai pemahaman serta kesabaran mereka sepanjang proses peralihan ini,” katanya memetik laporan media berkenaan, hari ini.
AirAsia turut menegaskan komitmennya untuk terus menyokong pekerja sepanjang tempoh tersebut dan akan memaklumkan secara langsung sekiranya terdapat sebarang perubahan lanjut.
Sementara itu, Reuters melaporkan bahawa satu e-mel dalaman kepada pekerja AirAsia memaklumkan pembayaran gaji bagi tempoh November hingga Mac 2027 akan dibuat pada 30 haribulan setiap bulan atau pada hari terakhir Februari.
Menurut laporan itu, e-mel berkenaan turut merujuk kepada persekitaran operasi yang mencabar serta meminta pekerja mengamalkan kesabaran dan fleksibiliti sepanjang tempoh peralihan tersebut.
Syarikat penerbangan kos rendah itu baru-baru ini melaporkan kerugian bagi suku ketiga berturut-turut, walaupun jumlah kerugian berkenaan mengecil berbanding suku sebelumnya.
Baki tunai dan simpanan bank AirAsia berjumlah RM905 juta setakat 30 September, susut lima peratus berbanding RM953 juta yang dicatatkan pada 30 Jun.
Dalam perkembangan berasingan, AirAsia Philippines mengumumkan rancangan mengurangkan tenaga kerjanya susulan tekanan kos operasi yang berterusan.
Reuters melaporkan kesatuan juruterbang syarikat penerbangan itu telah mengemukakan notis mogok susulan pemberhentian 90 juruterbang.
Bagaimanapun, AirAsia Philippines berkata pelarasan tenaga kerja yang dirancang tidak akan menjejaskan operasi penerbangan penumpang, tempahan atau perkhidmatan lain.