Skip to main content

Bisnes

Airwallex mahu gandakan jumlah tenaga kerja di Malaysia, perkukuh kedudukan

Malaysia menjadi contoh dalam pendekatan syarikat mengekalkan aspek konsistensi di peringkat global dan pada masa sama membangunkan perniagaan yang relevan di peringkat tempatan.
Malaysia menjadi contoh dalam pendekatan syarikat mengekalkan aspek konsistensi di peringkat global dan pada masa sama membangunkan perniagaan yang relevan di peringkat tempatan.

Advertisement

KUALA LUMPUR: Firma teknologi kewangan global, Airwallex berhasrat menggandakan bilangan tenaga kerjanya di Malaysia pada tahun ini sejajar dengan langkah memperkukuh kedudukan di peringkat tempatan, dipacu oleh jumlah transaksi rentas sempadan yang meningkat.

Naib Presiden Pemasaran Global, Jon Stona berkata, Malaysia menjadi contoh dalam pendekatan syarikat mengekalkan aspek konsistensi di peringkat global dan pada masa sama membangunkan perniagaan yang relevan di peringkat tempatan.

Stona berkata demikian pada sesi bual santai yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif McLaren, Racing Zak Brown manakala Ketua Pengembangan Asia Tenggara Airwallex, Andrew Chim menjadi perantara sesi berkenaan.

Airwallex bertindak meningkatkan jumlah pekerjanya di Malaysia sebanyak 66 peratus pada 2025 dan baru-baru ini telah berpindah ke pejabat baharu yang mampu menempatkan lebih daripada 160 pekerja.

Beliau berkata, pengembangan itu didorong oleh pengukuhan momentum perniagaan di negara ini yang menyaksikan Airwallex memproses transaksi kiriman wang bernilai lebih RM2 bilion pada 2025 yang dipacu oleh peningkatan permintaan daripada perniagaan Malaysia yang menjalankan operasi rentas sempadan.

Stona berkata, Airwallex melaksanakan pelaburan bagi mengukuhkan jejaknya di Malaysia sejak beberapa tahun lepas, termasuk mewujudkan pasukan tempatan dan membuka pejabat.

Langkah menempatkan pekerja di peringkat lapangan akan membolehkan syarikat memahami pelanggan dan komuniti di setiap pasaran selain mengekalkan rangka kerja serta prinsip operasi sama di peringkat global.

“Idea terbaik tidak semestinya daripada pihak ibu pejabat, malah sering kali daripada mereka yang berada di lapangan dan hampir dengan pelanggan. Tugas ibu pejabat adalah untuk mengembangkan idea berkenaan dengan seberapa segera yang mungkin,” katanya.

Menurut Stona, strategi pengembangan Airwallex itu turut menumpukan aspek kepantasan serta keupayaan bertindak balas terhadap keperluan pelanggan yang penting dalam mengembangkan perniagaan.

Pada masa sama, syarikat itu juga menyasarkan untuk memendekkan kitaran maklum balas dan mempercepat proses penambahbaikan seiring usaha pengembangannya.

Dalam pada itu, Stona menyifatkan kerjasama Airwallex dengan McLaren Racing sebagai mengatasi jangkaan dan membuka jalan kepada beberapa kerjasama sukan lain seterusnya.

Katanya, kerjasama tersebut memberi Airwallex peluang untuk menunjukkan bagaimana sistem kewangan dan keupayaan pembayarannya dapat membantu organisasi yang beroperasi di peringkat antarabangsa, dan bukan sekadar mempromosikan jenamanya. 

Menurut Stona, ketika Airwallex berkembang daripada syarikat yang beroperasi di rantau Asia Pasifik kepada platform kewangan global, kerjasama dengan McLaren membolehkannya memperkenalkan keupayaan syarikat itu dalam memudahkan urusan kewangan dan pembayaran kepada khalayak di seluruh dunia, dengan memanfaatkan capaian antarabangsa pasukan berkenaan.

Sementara itu, Brown berkata, kerjasama komersial dalam Formula 1 telah berkembang dengan ketara sejak dua dekad lalu berbanding penajaan konvensional yang sekadar memaparkan jenama pada kereta lumba.

Katanya, McLaren kini bekerjasama dengan rakan niaga yang membantu pasukan itu beroperasi dengan lebih cekap dalam pelbagai bidang termasuk teknologi, komunikasi, kewangan dan sumber manusia.

Sejajar langkah pasukan itu melakukan perjalanan ke 24 negara, pengurusan mata wang yang berbeza serta keperluan operasi lain menjadikan kerjasama sedemikian semakin penting, katanya.

“Kami bekerjasama dengan syarikat yang membantu kami beroperasi pada tahap terbaik, sama ada dalam bidang komunikasi, kewangan, perkhidmatan sumber manusia atau teknologi pada kereta lumba,” katanya.

Brown berkata rakan kerjasama turut memainkan peranan penting dalam membantu McLaren mendekati dan melibatkan khalayak baharu, mengambil kira interaksi peminat dengan sukan permotoran terus berubah dan tidak lagi bergantung kepada tontonan televisyen secara tradisional.

Beliau juga menganggap rakan kongsi global dapat membantu McLaren menambah baik operasi pasukan sama ada di dalam mahupun di luar litar, selain memperluas kelompok peminat daripada pelbagai peringkat umur, jantina dan pasaran di seluruh dunia.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement