Skip to main content
Advertisement

Sukan

TFC kecewa gagal tamat kemarau kemenangan

Pemain TFC Manuel Ott (kiri) cuba melepasi pemain pertahanan Brunei DPMM FC pada saingan Liga Super Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. - Foto BERNAMA
Pemain TFC Manuel Ott (kiri) cuba melepasi pemain pertahanan Brunei DPMM FC pada saingan Liga Super Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA NERUS: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Mohd Nafuzi Zain mengakui kecewa apabila pasukannya gagal menamatkan kemarau kemenangan setelah tewas tipis 1-2 di tangan DPMM FC, di laman sendiri malam tadi.

Jurulatih kelahiran Kelantan itu berkata kekalahan kali kelima berturut-turut dalam saingan Liga Super  amat mengecewakan kerana skuad Penyu terdesak memerlukan tiga mata bagi memperbaiki kedudukan dalam liga.

Beliau berkata TFC memulakan perlawanan dengan baik dan berjaya mengawal permainan pada separuh masa pertama, namun gagal mengekalkan momentum selepas melakukan dua pertukaran pada awal babak kedua.

Advertisement

"Kita terpaksa keluarkan Habib (Habib Haroon) dan Haziq (Ahmad Haziq Kutty Abba) kerana mereka mengalami kecederaan. Nampak perubahan selepas dua pemain itu keluar, (permainan) agak kucar-kacir dan tidak tersusun.

"Kelekaan pemain juga menyebabkan kita dihukum pihak lawan. Kita banyak mencipta peluang untuk menjaringkan gol berbanding DPMM FC, tetapi gagal dimanfaatkan," katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang DPMM FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam tadi. 

Advertisement

Selain itu, bekas jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) itu berkata ketiadaan dua tonggak utama iaitu Kastaneer Gervane dan Romel Morales yang digantung perlawanan mengehadkan pilihan pemain dan taktikal di bahagian serangan.

"Beberapa pemain yang baru pulang daripada menyertai perlawanan antarabangsa bersama skuad Harimau Malaya juga masih dalam keletihan dan belum pulih daripada kecederaan, kita terpaksa ambil pemain Piala Presiden untuk persediaan," katanya.

Sementara itu, pengendali DPMM FC Jamie McAllister berkata kemenangan tersebut meningkatkan keyakinan pasukan untuk mengharungi cabaran liga musim ini.

Beliau berkata walaupun ketinggalan 0-1 pada babak pertama, pemain menunjukkan ketahanan mental dan disiplin yang tinggi untuk bangkit dan meneruskan perancangan permainan meskipun berdepan beberapa keputusan pengadil yang tidak berpihak kepada pasukan.

“Mereka telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun ini dan saya hanya perlu mengekalkan standard tersebut untuk terus meningkatkan prestasi. Musim ini masih panjang, jadi sudah tentu akan ada pasang surut dan kami hanya perlu terus melakukan perkara yang terbaik," katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement