Ringkasan AI
- Grand Theft Auto VI mencatatkan jualan prapelancaran sebanyak 32.5 juta unit sebelum pelancaran rasminya pada Khamis.
- Permainan ini menjana jualan runcit hari pertama sebanyak AS$3.79 bilion dalam tempoh 24 jam selepas dilancarkan di seluruh dunia.
- GTA VI kini menjadi pelancaran paling berjaya dalam sejarah industri hiburan global, mengatasi filem dan muzik dari segi hasil jualan hari pertama.
NEW YORK: Penerbit permainan video, Take-Two Interactive mengumumkan Grand Theft Auto VI (GTA VI) mencatatkan jualan prapelancaran sebanyak 32.5 juta unit sebelum pelancaran rasminya pada Khamis, lapor Amanz.
Pada masa sama, permainan video terbitan anak syarikatnya, Rockstar Games itu menjana jualan runcit hari pertama sebanyak AS$3.79 bilion (kira-kira RM15.6 bilion) dalam tempoh 24 jam selepas dilancarkan di seluruh dunia.
Pencapaian luar biasa itu sekali gus menjadikannya pelancaran paling berjaya dalam sejarah industri hiburan global merentas semua medium termasuk filem dan muzik.
Sebagai perbandingan, filem dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman, Avengers: Endgame, meraih pendapatan sekitar AS$2.9 bilion sepanjang tempoh tayangannya di pawagam seluruh dunia.
Angka jualan hari pertama GTA VI itu juga hampir lima kali ganda lebih tinggi berbanding GTA V yang menjana kira-kira AS$815.7 juta menerusi jualan 11.21 juta unit pada hari pertama pelancarannya pada 2013.
Bagaimanapun, GTA V kekal permainan video keluaran Rockstar Games paling laris sepanjang zaman dengan jualan hampir 235 juta unit merentasi tiga generasi konsol dan platform PC.
Namun, GTA VI yang ketika ini hanya tersedia untuk konsol PlayStation 5 dan Xbox Series X|S dilihat berpotensi besar memintas rekod itu memandangkan versi PC serta mod berbilang pemainnya masih belum dilancarkan.