KUALA LUMPUR: AmBank Islamic melancarkan kempen AmRewards 6.0 dengan tawaran hadiah keseluruhan bernilai RM1.5 juta, susulan kejayaan edisi terdahulu yang menyaksikan pelanggan berpeluang memenangi kediaman mewah, kenderaan premium dan pakej pelancongan antarabangsa.
Kempen AmRewards 5.0 yang baru melabuhkan tirainya menyaksikan pelanggan dari Cawangan AmBank Gelugor, Pulau Pinang, Toh Chin Gee, memenangi hadiah utama berupa unit pangsapuri suite mewah Hugoz Suites @ KL City Centre by EXSIM.
Sementara itu, Ng Lay Ching dari AmBank Bukit Indah, Johor Bahru, membawa pulang sebuah BMW 218i Gran Coupe sebagai pemenang tempat kedua.
Bagi hadiah ketiga pula, tiga pelanggan bertuah memenangi pakej pelancongan untuk dua orang ke Tokyo, Jepun yang merangkumi penerbangan kelas perniagaan dan penginapan.
Pengarah Urusan Perbankan Runcit Kumpulan AmBank, Cheong Chee Wai berkata, sambutan menggalakkan pelanggan menjadi faktor utama kejayaan kempen tersebut.
"Kami menghargai kepercayaan dan kesetiaan yang terus diberikan oleh pelanggan kepada kami. Kami teruja untuk meneruskan momentum ini menerusi pelancaran AmRewards 6.0 yang menggalakkan pelanggan membina masa depan kewangan yang lebih kukuh melalui amalan simpanan yang konsisten, transaksi yang bijak dan penggunaan platform digital seperti aplikasi AmOnline," katanya.
Kempen AmRewards 6.0 berlangsung dari 1 Julai 2026 hingga 30 Jun 2027 dan terbuka kepada pelanggan yang membuka Akaun Simpanan-i AmWafeeq serta mengekalkan baki minimum yang ditetapkan.
Menerusi kempen itu, pelanggan layak memperoleh penyertaan bagi cabutan hadiah wang tunai bulanan selain peluang memenangi pakej percutian bertema suku tahunan ke beberapa destinasi menarik termasuk Yunnan di China, Taman Terapung Jepun, Cappadocia di Turki dan kawasan glasier di New Zealand.
Selain itu, kempen berkenaan menawarkan tiga hadiah utama eksklusif iaitu pengalaman percutian di kepulauan Bora-Bora, penginapan di Icehotel Sweden serta pengalaman hidupan liar di Madagascar.
Turut ditawarkan ialah hadiah cabutan perayaan dan akhir berupa sebuah Volvo EX30 serta Proton e.MAS 5.
Dalam perkembangan sama, AmBank turut memperkenalkan reka bentuk baharu Kad Debit AmBank Mastercard yang dipertingkatkan dengan pelbagai manfaat gaya hidup dan perjalanan.
Antara kelebihan utama yang ditawarkan ialah dua akses percuma setiap tahun ke Plaza Premium Lounge di Malaysia, menjadikannya kad debit segmen pasaran massa pertama di negara ini yang menawarkan kemudahan tersebut.
Pemegang kad juga boleh menikmati sifar yuran transaksi luar negara, kadar pertukaran mata wang yang lebih baik serta yuran pengeluaran ATM yang dipertingkat bagi kemudahan ketika melancong.
Bagi perbelanjaan harian, pengguna berpeluang menikmati pulangan tunai sebanyak 30 peratus menerusi pembayaran bil automatik melibatkan perkhidmatan telekomunikasi, utiliti, penstriman dan langganan kecerdasan buatan (AI).
Presiden Bahagian Asia Tenggara Barat Mastercard, Beena Pothen berkata, kerjasama dengan AmBank mencerminkan komitmen bersama dalam menawarkan penyelesaian pembayaran yang relevan dan memenuhi keperluan pengguna masa kini.
Menurut beliau, Kad Debit AmBank Mastercard yang diperbaharui bukan sahaja meningkatkan kemudahan dan keselamatan transaksi, malah memberikan nilai tambah yang nyata kepada pengguna dalam kehidupan seharian.
"Melalui kad ini, kami menjadikan pembayaran harian lebih bermanfaat sambil menyokong usaha berterusan AmBank dalam menyediakan pengalaman perbankan yang inovatif dan berteraskan pelanggan," katanya.