Skip to main content

Dunia

Netanyahu berdepan tekanan selepas pembangkang hampir bentuk kerajaan baharu

Penganalisis politik Israel berkata kedudukan Netanyahu semakin lemah ketika beliau berusaha mempertahankan kerjayanya. - Foto fail/REUTERS
Penganalisis politik Israel berkata kedudukan Netanyahu semakin lemah ketika beliau berusaha mempertahankan kerjayanya. - Foto fail/REUTERS

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berdepan cabaran apabila blok pembangkang diketuai Gadi Eisenkot hampir memperoleh sokongan membentuk kerajaan baharu.
  • Netanyahu menggesa pembentukan kerajaan perpaduan dan memberi amaran risiko perpecahan jika parti-parti Arab menyokong kerajaan baharu.
  • Beberapa parti Yahudi ultra-Ortodoks dilaporkan mempertimbangkan sokongan kepada Eisenkot, meningkatkan tekanan terhadap kedudukan Netanyahu.
Advertisement

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berdepan cabaran politik yang semakin sukar apabila blok pembangkang yang diketuai bekas ketua tentera, Gadi Eisenkot, semakin hampir memperoleh sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu, menurut laporan Al Jazeera.

Presiden Israel, Isaac Herzog, baru-baru ini memberi mandat kepada Eisenkot untuk membentuk kerajaan selepas blok pembangkang memperoleh kelebihan dalam pilihan raya bulan lalu.

Dalam usaha mengekalkan pengaruh politiknya, Netanyahu menggesa pembentukan kerajaan perpaduan di bawah pimpinannya sambil memberi amaran bahawa Israel berisiko berdepan perpecahan dalaman sekiranya kerajaan baharu disokong parti-parti Arab.

Advertisement

Perhatian kini tertumpu kepada parti-parti Yahudi ultra-Ortodoks yang selama ini menjadi sekutu Netanyahu.

Namun, laporan media tempatan menunjukkan sebahagian daripada mereka sedang mempertimbangkan untuk menyokong Eisenkot, yang berpotensi memberikannya majoriti di parlimen.

Advertisement

Penganalisis politik Israel berkata kedudukan Netanyahu semakin lemah ketika beliau berusaha mempertahankan kerjayanya di tengah-tengah perbicaraan kes rasuah yang masih berjalan serta kritikan berhubung kegagalan kerajaan menangani serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Parlimen baharu Israel yang mula bersidang minggu ini dijangka menyaksikan tekanan lebih besar terhadap Netanyahu, dengan pembangkang dijangka menggesa siasatan menyeluruh terhadap keputusan kerajaan sebelum dan selepas serangan berkenaan.

Menurut Al Jazeera, ramai pemerhati melihat peluang Netanyahu untuk kekal berkuasa semakin mengecil, kecuali berlaku perubahan besar dalam landskap politik atau keselamatan negara itu.

 

 

Must Watch Video

Advertisement