Skip to main content

Bisnes

AmBank peroleh Menara AmBank, aset berkaitan pada harga RM331 juta

Sumber: AmBank
AmBank ialah pemegang unit utama AmFirst REIT, yang memiliki 26.73 peratus daripada unit tersebut. - Foto AmBank

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh AMMB Holdings Bhd, AmBank (M) Bhd memeterai perjanjian bersyarat untuk mengambil alih Menara AmBank di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur, berserta aset dan hak berkaitan dengan harga RM331 juta.

Menurut AMMB, bank itu yang merupakan penyewa utama bangunan tersebut membeli hartanah terlibat berserta semua penyewaan, lesen, aset operasi dan kontrak penting untuk operasi dan penyelenggaraannya, daripada Maybank Trustees Bhd, yang bertindak sebagai pemegang amanah bagi AmFirst Real Estate Investments Trust (REIT). 

AmBank ialah pemegang unit utama AmFirst REIT, yang memiliki 26.73 peratus daripada unit tersebut.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, AMMB berkata cadangan pengambilalihan itu merupakan peluang untuk AmBank memiliki bangunan pegangan bebas yang menempatkan pejabatnya.

Katanya, sebagai pemilik ia akan membolehkan bank itu menjamin tempoh jangka panjang pejabatnya dan juga berpotensi mengurangkan peningkatan kos dan perbelanjaan yang ditanggung berkaitan dengan pendudukannya di Menara AmBank.

“Memandangkan lokasi strategik Menara AmBank, AMMB percaya bahawa cadangan pengambilalihan ini adalah selaras dengan strategi lokasi pejabat kumpulan,” tambahnya. 

AMMB berkata tertakluk kepada semua kelulusan yang diperoleh, cadangan pengambilalihan itu dijangka dimuktamadkan pada suku keempat 2026.

Bank itu menambah cadangan pembelian itu tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham terbitan AMMB dan pegangan saham pemegang saham syarikat itu, kerana ia tidak melibatkan penerbitan saham AMMB baharu. 

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement