AMMB Holdings Bhd bersetuju membayar penalti sebanyak RM53.7 juta kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berikutan kegagalan AmBank (M) Bhd dan AmBank Islamic Bhd mematuhi peraturan tertentu.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, ia berkata, penalti itu melibatkan tindakan di bawah Seksyen 234 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Seksyen 245 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 yang dilakukan oleh AmBank dan AmBank Islamic.

Menurutnya, AmBank Group turut memulakan semakan sendiri dan telah bekerjasama dengan BNM berhubung perkara itu termasuk mengemukakan maklumat sewajarnya.

"Semakan itu membawa kepada pengukuhan struktur tadbir urus secara berterusan. Penalti ini tidak memberi sebarang kesan material kepada pendapatan AmBank Group bagi tahun kewangan 2016," katanya.

AmBank Group berkata, ia sememangnya mementingkan aspek tanggungjawab pematuhan dan bersetuju dengan program empat tahun BNM bagi mencapai amalan terbaik di pasaran.

"Kami sudah bersetuju memperuntukkan purata RM25 juta setahun selama empat tahun yang melibatkan aspek pelaburan dalam sistem, infrastruktur dan latihan.

"Siri pendekatan ini akan memantapkan lagi kelancaran proses kumpulan, pelaporan serta meningkatkan struktur tadbir urus bagi mengelak keadaan sama berulang pada masa depan. Ia juga memastikan AmBank Group berada pada kedudukan tepat bagi pertumbuhan masa depannya," katanya.