Skip to main content

Dunia

MAHAR kecam serangan Israel ke atas Hospital Nasser, Gaza

Jismi berkata di bawah Konvensyen Geneva, hospital, petugas perubatan dan pesakit dilindungi sepenuhnya, dan serangan ke atas mereka boleh dianggap sebagai jenayah perang. - Gambar X @PalHighlight
Jismi berkata di bawah Konvensyen Geneva, hospital, petugas perubatan dan pesakit dilindungi sepenuhnya, dan serangan ke atas mereka boleh dianggap sebagai jenayah perang. - Gambar X @PalHighlight
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas jabatan pembedahan Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis, Gaza pada Khamis lepas yang mengorbankan enam individu, termasuk pakar bedah Dr Rizk Abu Shaaira.

Presiden MAHAR Prof Adjung Jismi Johari berkata serangan ke atas hospital berkenaan yang turut mengorbankan seorang lagi petugas kesihatan dan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun serta mencederakan 27 yang lain, bukan insiden terpencil sebaliknya serangan ketujuh terhadap kompleks itu sejak Oktober 2023.

“Israel tidak lagi berselindung. Hospital diserang berulang kali, doktor dibunuh di tempat mereka menyelamatkan nyawa dan dunia terus memerhati dalam diam. Setiap serangan yang dibiarkan tanpa tindakan hanya membuka jalan kepada serangan seterusnya,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Advertisement

Jismi berkata di bawah Konvensyen Geneva, hospital, petugas perubatan dan pesakit dilindungi sepenuhnya, dan serangan ke atas mereka boleh dianggap sebagai jenayah perang.

“Dr Rizk menghabiskan hidupnya menyelamatkan nyawa orang lain. Paling kurang yang dunia berhutang kepadanya ialah keadilan,” katanya.

Advertisement

Keberanian Dr Rizk untuk terus kekal berkhidmat di Hospital Nasser sepanjang peperangan dan merawat pesakit bersama rakan sekerjanya Dr Mohammed Odainy yang kini bertarung nyawa, dirakamkan dalam dokumentari American Doctor arahan anak kelahiran Pulau Pinang, Poh Si Teng.

Hospital Nasser merupakan hospital utama terakhir yang merawat lebih 500,000 penduduk Khan Younis.

Menurut MAHAR, hari ini, hanya 20 daripada 36 hospital di Gaza masih berfungsi, dengan tiada satu pun beroperasi sepenuhnya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement