Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan agar kerajaan mengendalikan satu analisis kos-faedah yang menyeluruh dan tidak berat sebelah ke atas Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) sebelum ia ditandatangani.

Dengan mengambil kira kebimbangan utama orang ramai, beliau menggesa perunding-perunding Malaysia "mempertahankan hak dan keistimewaan kita, tidak kira betapa sukar dan sensitifnya isu-isu tersebut" dalam pusingan-pusingan TPPA yang tinggal lagi.

Beliau berkata tiada sebab yang sah kenapa Malaysia harus tergesa-gesa menandatangani TPPA.

"Hasil analisis kos-faedah ini haruslah disebar luaskan kepada orang ramai, dan perkara-perkara utama TPPA perlu dimaklumkan kepada semua pihak berkepentingan, terutamanya ahli-ahli Parlimen, agar perjanjian muktamad diperbetulkan sewajarnya oleh perundangan kita," katanya pada satu sidang akhbar di ibu pejabat PKS di sini hari ini.

Ditanya sama ada lawatan Presiden AS, Barack Obama, Oktober ini akan memberi tekanan kepada Malaysia untuk menandatangani TPPA, Anwar berkata: "Kita mengalu-alukan lawatan Obama tetapi tidak akan membenarkannya digunakan sebagai pengaruh atau satu bentuk tekanan untuk menandatangani TPPA."

Malaysia sedang berunding mengenai TPPA dengan Amerika Syarikat dan sembilan negara lain untuk membuka peluang perniagaan dan ekonomi di rantau Asia Pasifik dan mengubah cara perdagangan dan pelaburan dikawal selia di rantau ini.

Negara-negara lain yang turut terlibat dalam TPPA ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.