KUALA LUMPUR: Penggiat industri perfileman boleh meneroka potensi Bangunan Sulaiman di sini yang kini menempatkan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), sebagai lokasi penggambaran, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata bangunan bersejarah di Jalan Sultan Hishamuddin itu mempunyai seni bina serta latar belakang tersendiri yang boleh dimanfaatkan oleh industri kreatif.
“Kalau ada yang mahu membuat filem di sini, silakan, asalkan membayar sewa,” katanya secara berseloroh ketika berucap pada Forum Seni, Populariti dan Survival Kewangan di Auditorium AIAC di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan mengekalkan Bangunan Sulaiman kerana nilai sejarahnya, selain selaras dengan amalan antarabangsa yang menempatkan pusat timbang tara di bangunan bersejarah.
Bangunan berkenaan juga pernah menempatkan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan sebelum dipulihara dan dijadikan ibu pejabat AIAC.
Azalina turut menjelaskan bahawa AIAC bukan mahkamah, sebaliknya menyediakan platform penyelesaian pertikaian alternatif termasuk timbang tara dan pengantaraan untuk membantu pihak bertikai mencari penyelesaian di luar proses litigasi.
Beliau berkata pendekatan itu juga boleh dimanfaatkan penggiat industri kreatif yang berdepan pertikaian kontrak berkaitan perkhidmatan, penerbitan atau pembekalan.
Bangunan Sulaiman, yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Kebangsaan pada 2018, menempatkan kemudahan AIAC sejak 2014.
Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Hans Isaac menyifatkan Bangunan Sulaiman sebagai antara bangunan kegemarannya di Malaysia kerana nilai sejarah dan keunikan seni binanya.
Beliau berkata kemunculan pelbagai bangunan baharu dan moden tidak harus menyebabkan rakyat melupakan warisan seni bina negara.
“Ini sejarah kita dan merupakan antara bangunan yang seharusnya menjadi kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA