Pelantikan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai ahli Lembaga Pengarah Lembaga Tabung Haji (TH) adalah prerogatif menteri yang bertanggungjawab ke atas organisasi itu.

Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pelantikan Peguam Negara itu dibuat pada 15 Januari lalu kerana ada satu jawatan kosong dalam lembaga pengarah.

Tambah Abdul Azeez, pelantikan Mohamed Apandi itu bukan luar biasa kerana bekas peguam negara dahulu turut dilantik sebagai lembaga pengarah syarikat.

"Kita ada kekosongan dan ini berlaku secara kebetulan. Lantikan dibuat oleh menteri dan bukan saya sebagai pengerusi kerana saya juga tiada hak atau prerogatif untuk berbuat demikian.

"Bila mana dapat surat Bank Negara Malaysia (BNM), antaranya menyentuh berkenaan rizab dan pelantikan ahli lembaga pengarah perlu terdiri daripada mereka yang boleh membantu memantapkan pengurusan Tabung Haji.

"Mereka (TH) perlukan pengamal undang-undang kerana sebelum ini pernah AG (Mohamed Apandi) dilantik dalam KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) atau (projek empangan) Bakun.

"Maka kita hantar surat kepada pejabat AG dan mereka tanyakan jika ada gaji, dan kami katakan bahawa tiada (gaji), mereka menamakan AG (sebagai calon)," katanya pada sidang media selepas mengumumkan bonus TH bagi tahun kewangan 2015 di sini hari ini.

Tambahnya, TH telah mengemukakan cadangan kepada Pejabat Peguam Negara dan apabila dimaklumkan pelantikan itu tidak melibatkan pembayaran, Pejabat Peguam Negara mencadangkan nama Mohamed Apandi.

"Kebetulan, beliau (Mohamed Apandi) juga adalah lembaga pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, selari dengan matlamat untuk membantu umat Islam.

"Lagipun, beliau bukan dibayar gaji, jadi apa isunya," katanya.

Abdul Azeez menjelaskan bahawa dalam beberapa persetujuan, TH bergantung kepada perunding luar yang perlu dibayar menggunakan wang pendeposit.

"Jadi, jika ada AG (sebagai ahli lembaga) kita tidak perlu mengeluarkan wang kerana dia akan memberi nasihat secara percuma.

"AG berkata, ada juga peruntukan yang membenarkan beliau menjadi ahli lembaga selagi dia tidak mengambil gaji," jelas Abdul Azeez.