KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan bahawa Tun Arifin Zakaria akan bersara sebagai pengerusi kumpulan dan pemegang amanah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) berkuat kuasa 6 Mei 2023, selepas menamatkan tempoh dua tahun.

PNB dalam satu kenyataan hari ini berkata Tun Arifin, yang merupakan bekas ketua hakim negara, telah dilantik ke jawatan itu pada 2021 dan telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan tadbir urus syarikat.

Di bawah kepimpinannya, PNB berkata ia telah membangunkan rangka kerja dalaman bagi menilai pengarah, ketua eksekutif serta pekerja kritikal misi syarikat penerima pelaburannya untuk memastikan kekuatan lembaga pengarah masing-masing.

Selain itu, Tun Arifin telah memainkan peranan penting membimbing PNB dalam perjalanan persekitaran, sosial dan tadbir urusnya.

Pada April 2022, syarikat pengurusan dana itu telah melancarkan Rangka Kerja Kelestarian PNB, yang bertujuan untuk memberikan manfaat bukan sahaja kepada pihak berkepentingan tetapi juga kepada pasaran dan negara yang lebih luas.

"Bagi pihak lembaga pengarah dan warga PNB, kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tun Arifin. Perkhidmatan serta kepimpinan luar biasa beliau sejak dua tahun lalu telah memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan PNB, Amanah Saham Nasional Bhd dan Kumpulan Syarikat PNB.

"Pengalaman luas beliau dalam perkhidmatan awam amat berharga serta kami berterima kasih atas legasi yang ditinggalkannya," kata Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Ahmad Zulqarnain Onn.

Pelantikan pengerusi kumpulan yang baharu akan dibuat oleh YPB dalam masa terdekat.

-- BERNAMA