Ringkasan AI
- Instagram memperkenalkan ciri baharu membenarkan pengguna menyunting Instagram Stories yang telah diterbitkan dalam tempoh 15 minit.
- Pembetulan boleh dilakukan tanpa menjejaskan tontonan, tanda suka atau balasan, namun foto atau video asal tidak boleh diganti.
- Ciri ini diperkenalkan secara berperingkat bersama pembaharuan lain, dan setiap suntingan akan dipaparkan label "Edited" di penjuru skrin.
MENLO PARK: Instagram kini memperkenalkan kemas kini baharu yang membolehkan pengguna menyunting kandungan Instagram Stories yang sudah diterbitkan dalam tempoh 15 minit, lapor Amanz.
Menerusi ciri yang diumumkan Ketua Instagram, Adam Mosseri, pengguna diberi ruang untuk melakukan pembetulan segera dengan menekan menu tiga titik pada hantaran dan memilih pilihan "Edit Story" tanpa menjejaskan jumlah tontonan, tanda suka mahupun balasan sedia ada.
Langkah itu sekali gus memudahkan proses penerbitan di Instagram Stories sekiranya berlaku kesilapan ejaan pada teks atau memerlukan perubahan pada muzik latar, pelekat serta lukisan. Namun, pengguna tetap tidak boleh menggantikan foto atau video asal.
Sebelum ini, pengguna terpaksa memadam dan memuat naik semula keseluruhan hantaran sekiranya berlaku kesilapan kecil pada perkongsian mereka, sekali gus menyebabkan rekod capaian awal hilang.
Setiap kandungan yang telah dikemas kini akan memaparkan label "Edited" di penjuru skrin sebagai makluman kepada penonton, manakala ciri suntingan ini tidak terpakai bagi Stories yang dikongsi secara silang ke Facebook atau menggunakan pelekat interaktif tertentu.
Menurut platform media sosial milik Meta itu, ciri suntingan berkenaan mula diperkenalkan secara berperingkat kepada semua pengguna bermula minggu ini bersama beberapa pembaharuan kreatif lain termasuk susun atur kolaj foto serta pilihan latar belakang baharu.