Skip to main content

Bisnes

Aset bersih Kumpulan Wang Amanah Negara dijangka berganda dalam tempoh 10 tahun

71738735872_LiewChinTong.jpg
Aliran masuk yang konsisten ke dalam Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) termasuk pulangan pelaburan terkumpul dijangka meningkatkan aset bersih dana itu kepada dua kali ganda dalam tempoh kira-kira 10 tahun, kata Liew Chin Tong. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Aliran masuk yang konsisten ke dalam Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) termasuk pulangan pelaburan terkumpul dijangka meningkatkan aset bersih dana itu kepada dua kali ganda dalam tempoh kira-kira 10 tahun, kata Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong.

Menurutnya, aliran masuk yang mencecah hampir RM800 juta setahun merangkumi sekurang-kurangnya 0.1 peratus hasil tahunan yang diunjurkan atau sekitar RM343 juta berdasarkan anggaran Belanjawan 2026.

Selain itu, kerajaan turut menerima minimum dua peratus dividen PETRONAS atau kira-kira RM400 juta serta minimum dua peratus hasil duti eksport sumber yang menyusut selepas penyerahhakan kepada kerajaan negeri.

Katanya, bagi jaminan pelaksanaannya pula, sumbangan itu merupakan kewajipan berkanun dan bukannya hasrat dasar.

“Ia hendaklah dipindahkan ke dalam KWAN sebelum berakhirnya tahun kewangan berkenaan, amaunnya dinyatakan dalam penyata kewangan tahunan serta dibentangkan di Dewan Rakyat dan kadarnya hanya boleh diturunkan melalui akta pindaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) KWAN 2026 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara, pada Rabu.

RUU itu kemudian diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas oleh 14 senator.

Liew berkata, sumber sumbangan tidak lagi bergantung kepada budi bicara satu pihak kerana tiga aliran berkanun diwajibkan buat pertama kalinya dan mengekalkan ruang sumbangan sukarela yang luas.

Ini termasuk daripada kerajaan-kerajaan negeri, geran, derma, endowmen dan wasiat serta mana-mana pihak yang menjalankan penyelidikan sumber menyusut.

Liew turut menjelaskan, akta itu tidak menyentuh apa-apa hasil yang menjadi hak kerajaan negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan termasuk bahagian negeri daripada duti eksport hasil galian di bawah Perkara 110. 

“Bagaimanapun, sekiranya mana-mana kerajaan negeri memilih untuk menyumbang kepada KWAN, sumbangan itu sentiasa dialu-alukan di bawah Fasal 5(a) dan ia secara sukarela sepenuhnya,” jelasnya.

Mengulas mengenai Fasal 33 RUU KWAN , Liew berkata, ia memperuntukkan iaitu menteri boleh membuat peraturan bagi memperkukuh tadbir urus selain pengurusan dana termasuk berkaitan penggunaan dan pengeluaran dana serta kuasa dan tanggungjawab Lembaga. 

“Semua peraturan yang dibuat akan diwartakan bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti,” katanya.

RUU KWAN diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Julai lepas bertujuan memperkukuh asas perundangan dana itu dengan memastikan aliran masuk lebih konsisten, pengeluaran lebih berdisiplin serta tadbir urus dan akauntabiliti yang lebih jelas.

Persidangan Dewan Negara bersambung hari ini.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement