KUALA LUMPUR: Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) memenangi Platinum pada malam Anugerah Putra Brand 2021.

Ini merupakan kemenangan sekali lagi Astro dalam kategori Rangkaian Media di anugerah berprestij itu yang berlangsung pada Jumaat. 

Dengan kemenangan ini, ia merupakan tahun ke-12 berturut-turut rakyat Malaysia memilih Astro sebagai jenama media terkemuka.

Ia sebagai pengiktirafan atas kejayaan Astro dalam menyampaikan kandungan berkualiti meliputi pelbagai sudut termasuk pendidikan dan hiburan yang memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia.

Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Kumpulan Astro, Tammy Toh mewakili Astro untuk menerima Platinum pada Anugerah Putra Brand 2021. - Foto Astro

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata Astro sangat teruja untuk dipilih sekali lagi oleh rakyat Malaysia sebagai jenama media utama mereka.

“Tahun ini, ia lebih istimewa bagi kami kerana kami menerima bukan satu tetapi empat anugerah - Platinum untuk Astro, Perak untuk Go Shop dan dua Perak untuk radio, ERA dan HITZ. 

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan dan pendengar kami atas sokongan anda.

"Atas penghargaan dan sokongan kepada kami, jangan lupa nanti pengumuman. Anda akan terima tontonan percuma daripada kami atas undian ada terhadap kami sebagai jenama media pilihan. Terima kasih, Malaysia!” katanya.

Penyampai ERA, Radin (kanan) dan Ray (tengah) menerima Perak bagi kategori Rangkaian Media pada Anugerah Putra Brand 2021 - Foto Astro

Turut menerima anugerah adalah dua stesen rangkaian Astro Radio, ERA dan HITZ yang menerima Perak bagi kategori Rangkaian Media.

Penyampai HITZ, Ean (kiri) dan Arnold (kanan) menerima Perak bagi kategori Rangkaian Media pada Anugerah Putera Brand 2021 - Foto Astro

Sementara itu, platform jualan dalam talian, Go Shop pula menerima Perak bagi kategori e-Dagang.

Dilancarkan pada 2010, Anugerah Putra Brand ialah inisiatif Persatuan Ejen-ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As) untuk mengiktiraf jenama yang paling dekat di hati rakyat Malaysia dengan penilaian berdasarkan pilihan pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Astro Go Shop, Christinne Lim (kanan) menerima Perak bagi kategori e-dagang pada Anugerah Putra Brand 2021 - Foto Astro