Skip to main content

Bisnes

Phongsavanh Group labur lebih RM100 juta di Malaysia, tertarik tenaga kerja mahir

Ditubuhkan pada 1977, Phongsavanh Group merupakan konglomerat milik swasta dari Laos dengan kepentingan dalam pelbagai sektor termasuk perbankan dan kewangan, petroleum, logistik, pembinaan, telekomunikasi, perdagangan, insurans serta francais makanan dan minuman.
Ditubuhkan pada 1977, Phongsavanh Group merupakan konglomerat milik swasta dari Laos dengan kepentingan dalam pelbagai sektor termasuk perbankan dan kewangan, petroleum, logistik, pembinaan, telekomunikasi, perdagangan, insurans serta francais makanan dan minuman.
Advertisement

PETALING JAYA: Konglomerat terkemuka Laos, Phongsavanh Group telah melabur lebih RM100 juta di Malaysia setakat ini dan berhasrat memperkukuh lagi kehadirannya di negara ini, didorong oleh keyakinan terhadap kualiti tenaga kerja tempatan serta keupayaan Malaysia sebagai hab perniagaan serantau.

Pengerusi Jawatankuasa Pemegang Saham Phongsavanh Group, Somboun Phongsavanh berkata, pelaburan dan urus niaga perniagaan kumpulan itu di Malaysia merangkumi pembelian peralatan, penggunaan teknologi serta khidmat kepakaran bagi menyokong operasinya di Laos.

"Kami telah melabur lebih RM100 juta setakat ini. Antaranya termasuk pembelian peralatan komunikasi dari Malaysia untuk dipasarkan di Laos serta kerjasama dengan rakan strategik bagi membangunkan sistem perbankan kami," katanya dalam temu bual bersama media, baru-baru ini.

Advertisement

Beliau berkata demikian sempena pembukaan pejabat baharu Phongsavanh Group Malaysia di Bandar Utama yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Laos, Thongsavanh Phomvihane, pada 24 November lalu.

Menurut Somboun, Malaysia dipilih sebagai pusat operasi dan tadbir urus korporat kumpulan itu kerana memiliki tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu membantu menyelaras amalan pengurusan mengikut piawaian antarabangsa.

Advertisement

Katanya, kehadiran tenaga profesional tempatan yang berkualiti turut membolehkan pemindahan ilmu dan kepakaran bagi meningkatkan kecekapan operasi syarikat-syarikat di bawah kumpulan itu di Laos.

"Keutamaan kami ketika ini adalah membangunkan pasukan yang kukuh di Malaysia untuk menyokong operasi syarikat di Laos sebelum meneroka lebih banyak peluang pelaburan di ASEAN dan pasaran antarabangsa," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, jumlah pelaburan tambahan yang akan disalurkan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang masih dalam penilaian.

Dalam masa sama, Somboun menggalakkan syarikat Malaysia meneroka peluang perniagaan di Laos, khususnya dalam sektor sumber asli, pelancongan, logistik dan rantaian bekalan.

Menurutnya, kedudukan strategik Laos yang bersempadan dengan lima negara memberikan kelebihan untuk muncul sebagai hab serantau bagi aktiviti perdagangan dan pelaburan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Phongsavanh Group Malaysia, Ho Sai Weng, berkata, syarikat itu berhasrat menjadi penghubung bagi menggalakkan lebih banyak pelaburan dua hala antara Malaysia dan Laos.

Katanya, kekuatan ekonomi digital Malaysia serta tenaga kerja yang menguasai pelbagai bahasa menjadikan negara ini lokasi sesuai untuk mengembangkan kerjasama perniagaan rentas sempadan.

"Malaysia mempunyai kelebihan dari segi teknologi, bakat dan ekosistem perniagaan. Kami mahu membantu pelabur memahami pasaran Laos, mengenal pasti peluang serta menjalin rangkaian dengan rakan niaga tempatan," katanya.

Menurut Ho, Phongsavanh Group juga terbuka untuk bekerjasama secara langsung dengan syarikat Malaysia dalam projek yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi jangka panjang dan membuka peluang perniagaan baharu di kedua-dua negara.

Ditubuhkan pada 1977, Phongsavanh Group merupakan konglomerat milik swasta dari Laos dengan kepentingan dalam pelbagai sektor termasuk perbankan dan kewangan, petroleum, logistik, pembinaan, telekomunikasi, perdagangan, insurans serta francais makanan dan minuman.

Pembukaan pejabat baharu di Malaysia dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuh hubungan perniagaan antara kedua-dua negara, bersempena sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia dan Laos tahun ini.

Must Watch Video

Advertisement