Skip to main content

Malaysia

Malaysia lancar pusat latihan perancah OSTS pertama di Asia Tenggara

MKRS Training Institute yang beroperasi di bawah MKRS Bumi (M) Sdn Bhd, dilancarkan secara rasmi sebagai pusat latihan OSTS yang diluluskan oleh National Access & Scaffolding Confederation (NASC) dan Construction Industry Scaffolders Record Scheme (CISRS).
MKRS Training Institute yang beroperasi di bawah MKRS Bumi (M) Sdn Bhd, dilancarkan secara rasmi sebagai pusat latihan OSTS yang diluluskan oleh National Access & Scaffolding Confederation (NASC) dan Construction Industry Scaffolders Record Scheme (CISRS).
Advertisement

BANGI: Malaysia melakar satu lagi pencapaian dalam industri pembinaan apabila melancarkan pusat latihan Overseas Scaffolder Training Scheme (OSTS) pertama di Asia Tenggara yang diiktiraf oleh badan profesional antarabangsa dari United Kingdom.

MKRS Training Institute yang beroperasi di bawah MKRS Bumi (M) Sdn Bhd, dilancarkan secara rasmi sebagai pusat latihan OSTS yang diluluskan oleh National Access & Scaffolding Confederation (NASC) dan Construction Industry Scaffolders Record Scheme (CISRS).

Pelancaran itu menandakan kemajuan penting dalam usaha memperkukuh pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta meningkatkan pematuhan kepada piawaian keselamatan dan kompetensi profesional yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Advertisement

Pusat latihan berkenaan dijangka menjadi platform utama bagi latihan teknikal, pembangunan kompetensi dan pensijilan profesional industri perancah untuk penggiat industri di Malaysia serta negara-negara Asia Tenggara.

Pelancarannya turut memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysian Occupational Scaffolding Association (MOSA), NASC dan CISRS dalam usaha meningkatkan standard industri perancah negara.

Advertisement

Menurut MOSA, penubuhan pusat latihan itu merupakan pelaburan strategik dalam pembangunan pendidikan teknikal dan latihan profesional yang mampu memenuhi keperluan industri global.

Selain menyediakan latihan berasaskan standard antarabangsa, pusat berkenaan dijangka menjadi pemangkin kepada pembentukan tenaga kerja tempatan yang lebih kompeten dan berdaya saing di pasaran antarabangsa.

Majlis sama turut menyaksikan kejayaan pelaksanaan program sulung Train-the-Trainer dan Lead Auditor hasil kerjasama MOSA bersama NASC dan CISRS.

Seramai 10 peserta berjaya menamatkan program Train-the-Trainer manakala lima lagi memperoleh kelayakan menerusi program Lead Auditor yang bertujuan melahirkan tenaga pengajar dan penilai kompetensi tempatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Vatsala Vijayan mencipta sejarah sebagai wanita pertama di Malaysia yang memperoleh pensijilan antarabangsa menerusi program berkenaan.

Para peserta yang berjaya turut menerima kad kompetensi CISRS sebagai pengiktirafan terhadap keupayaan teknikal dan profesional mereka dalam industri perancah.

Ditubuhkan pada 2010, MOSA memainkan peranan aktif dalam memperkukuh industri perancah negara melalui kerjasama dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), termasuk menyokong pembangunan piawaian Malaysian Standard MS 1462 serta Construction Industry Standards (CIS).

Menerusi kerjasama strategik bersama NASC dan CISRS, MOSA berhasrat meletakkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan serantau bagi pembangunan kompetensi industri perancah, sekali gus membuka peluang kepada tenaga kerja tempatan untuk memperoleh pengiktirafan antarabangsa.

Malah, inisiatif itu turut disifatkan sebagai langkah awal untuk meneroka peluang industri di pasaran global termasuk di Arab Saudi yang menyaksikan pertumbuhan pesat sektor pembinaan dan infrastruktur.

MOSA dan MKRS Bumi menegaskan komitmen mereka untuk terus memperkukuh standard profesional, mempromosikan amalan kerja yang lebih selamat serta membangunkan tenaga kerja berkompetensi tinggi melalui kerjasama berterusan dengan pihak kawal selia dan industri.

Dengan penubuhan pusat latihan OSTS pertama di Asia Tenggara, Malaysia kini berada pada kedudukan lebih kukuh untuk muncul sebagai antara hab pembangunan kepakaran perancah yang diiktiraf di peringkat serantau dan antarabangsa.

Must Watch Video

Advertisement