KUALA LUMPUR: Program Susu Sekolah (PSS) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memainkan peranan penting dalam membantu menangani masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).
Pengeluar produk tenusu tempatan, Farm Fresh Berhad selaku pembekal program itu bagi tempoh 2025 hingga 2030, berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja bertujuan meningkatkan pengambilan nutrisi dalam kalangan murid, malah membantu membentuk keterampilan dan keyakinan diri generasi muda.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulannya, Azmi Zainal berkata, pembangunan keterampilan penting dalam melahirkan murid yang holistik, berkeyakinan dan berdaya saing.
Menurutnya, pencapaian akademik semata-mata tidak mencukupi tanpa keupayaan murid untuk membawa diri, berkomunikasi dan mengaplikasikan kemahiran dalam kehidupan seharian.
"Setiap tahun kami mengadakan majlis seperti ini bagi meraikan anak-anak sekolah dan menyambut Hari Susu Sekolah Sedunia bersama masyarakat di seluruh dunia.
"Pada masa sama, kami turut menghargai semua pihak yang memastikan bekalan susu sampai kepada murid setiap hari, termasuk usahawan penghantaran yang memainkan peranan penting terutama ke sekolah di kawasan pedalaman," katanya pada Gala Hari Susu Sekolah Sedunia 2026 di Majika Penang Convention Centre (MPCC), Pulau Pinang, baru-baru ini.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.
PSS dilaksanakan di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) KPM bagi membantu murid daripada keluarga B40 memperoleh pemakanan yang lebih seimbang sepanjang tempoh persekolahan.
Melalui kontrak bekalan PSS bagi tempoh 2025 hingga 2030, Farm Fresh membekalkan hampir 80 juta pek susu UHT tanpa perisa setiap tahun kepada murid penerima RMT.
Syarikat itu dipilih menerusi tender terbuka untuk membekalkan susu di lima zon meliputi Kelantan; Terengganu dan Pahang; Perlis dan Kedah; Pulau Pinang dan Perak; serta Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Dalam pada itu, Azmi berkata, Farm Fresh turut memperkukuh aspek kelestarian menerusi kerjasama strategik dengan Tetra Pak Malaysia sempena Hari Susu Sekolah Sedunia.
Katanya, usaha itu memberi tumpuan kepada pengumpulan dan kitar semula kotak susu PSS terpakai melalui program "Kotak Jadi Taman" yang dilaksanakan di sekolah-sekolah seluruh negara.
Menerusi konsep "Recycle and Redeem", warga sekolah boleh mengumpul mata dengan menghantar kotak susu untuk dikitar semula sebelum menebusnya dengan pelbagai barangan yang diperbuat daripada bahan kitar semula.
Selain itu, Pertandingan Kotak Jadi Taman Peringkat Kebangsaan melibatkan 10 sekolah dengan tawaran hadiah keseluruhan berjumlah RM6,800 bagi menggalakkan amalan kitar semula dan minat terhadap pertanian dalam kalangan murid.
Farm Fresh turut melaksanakan beberapa inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), termasuk menyediakan dermasiswa bernilai RM500,000 kepada 500 pelajar Tingkatan Enam daripada keluarga B40 pada tahun ini.
Syarikat itu juga memperuntukkan RM420,000 untuk program tuisyen matematik melibatkan 500 murid terpilih selain menyediakan susu percuma kepada murid di 10 sekolah setiap tahun.
Bagi menyokong pembelajaran awal kanak-kanak, Farm Fresh turut menyediakan papan pintar percuma bernilai RM200,000 kepada 28 buah prasekolah.
Azmi berkata, syarikat itu komited menyediakan produk tenusu yang segar, berkhasiat dan mampu milik serta berharap kerjasama dengan pelbagai pihak dapat membantu lebih ramai murid mengamalkan pemakanan seimbang dan membina keyakinan diri.